Skip to main content

Malaysia

Pemeriksaan dadah: Kawalan keselamatan diperluas ke aset strategik negara

Saifuddin Nasution ketika menghadiri program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka pada Ahad. -Foto Bernama
Saifuddin Nasution ketika menghadiri program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka pada Ahad. -Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan mempertimbang memperluas 17 syor penambahbaikan kawalan keselamatan ke lokasi strategik lain termasuk pangkalan tentera dan pangkalan gerak udara polis.
  • Langkah ini susulan kes penyeludupan dadah menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM, dengan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan baru-baru ini.
  • Kerajaan kini memasuki fasa kedua pelaksanaan syor, melibatkan usaha melengkapkan peralatan di semua pintu masuk negara untuk memperkukuh kawalan keselamatan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbang untuk memperluas pelaksanaan 17 syor penambahbaikan kawalan keselamatan di pintu masuk utama negara ke lokasi strategik lain, termasuk pangkalan tentera dan pangkalan gerak udara polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu turut membabitkan sektor darat, laut dan udara susulan kes penyeludupan dadah yang membabitkan kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), baru-baru ini.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi menilai keperluan memperluas langkah berkenaan.

Advertisement

"Kita akan melihat semula sama ada 17 inisiatif yang ketika ini hanya dilaksanakan di pintu masuk utama negara perlu turut meliputi kawasan dan lokasi strategik lain.

"Kita mempunyai pangkalan gerak udara polis, pangkalan tentera dan TUDM. Bukan sahaja darat dan laut, malah udara juga akan diteliti dari segi langkah yang perlu diambil kerajaan," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka, di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan kini memasuki fasa kedua pelaksanaan syor berkenaan yang membabitkan usaha melengkapkan peralatan di semua pintu masuk negara.

Mengulas lanjut mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM untuk menyeludup dadah ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, beliau berkata, maklumat risikan JSJN sudah dikongsi dengan pihak TUDM lebih awal.

Katanya, perkongsian maklumat itu dibuat kerana lokasi berkenaan berada di bawah seliaan TUDM dan agensi penguat kuasa tidak boleh menyimpan sendiri maklumat risikan berkaitan lokasi strategik yang dikawal agensi lain.

"Jadi, bertindak atas maklumat itu, ketepatan risikan pada hari kejadian menghasilkan tangkapan.

"Siapa yang mula mengesan bagasi itu? Tentulah Tentera Udara. Kejayaan mengesan itu melalui perkongsian maklumat risikan oleh Bahagian Narkotik kita," katanya.

Beliau berkata insiden berkenaan memberi implikasi besar kepada negara dan memerlukan tindakan menyeluruh bagi memastikan kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada institusi keselamatan tidak disalahgunakan.

Terdahulu, polis membongkar sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

Dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu, seramai 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan.

Polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki metamfetamina atau syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram cecair bahan kimia.

Pada 19 Ogos lalu, Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan yang dilaksanakan dalam tiga fasa bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa negara susulan beberapa insiden penyeludupan dadah membabitkan rakyat Malaysia di luar negara.

Must Watch Video

Advertisement