Skip to main content

Dunia

Iran nafi terbabit serangan dron yang mengorbankan dua rakyat Itali di Kuwait

Araghchi menegaskan Tehran "tidak mempunyai sebarang penglibatan" dalam insiden itu dan bersedia menjalankan siasatan bersama dengan Kuwait untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. - Foto fail/REUTERS
Araghchi menegaskan Tehran "tidak mempunyai sebarang penglibatan" dalam insiden itu dan bersedia menjalankan siasatan bersama dengan Kuwait untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Iran menafikan penglibatan dalam serangan dron di Kuwait yang mengorbankan dua juruteknik Itali di stesen pemantauan pertahanan udara.
  • Kuwait dan Itali mengaitkan serangan tersebut dengan dron dari Iran, namun Tehran menegaskan kesediaan untuk siasatan bersama bagi mengenal pasti punca sebenar.
  • Insiden berlaku ketika ketegangan serantau meningkat susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran di rantau Teluk.
Advertisement

DUBAI: Iran menafikan dakwaan bahawa ia bertanggungjawab atas serangan dron di Kuwait yang mengorbankan dua warga Itali, ketika ketegangan konflik serantau terus memuncak di Teluk.

Dua mangsa yang maut merupakan juruteknik syarikat pertahanan Itali, Rheinmetall Italia, yang sedang bertugas di sebuah stesen pemantauan pertahanan udara di Kuwait ketika insiden itu berlaku, menurut Menteri Luar Itali, Antonio Tajani.

Kementerian Pertahanan Kuwait memaklumkan kedua-dua lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan selepas tapak strategik berkenaan terkena serpihan ketika pihak berkuasa memintas beberapa dron yang memasuki ruang udara negara itu.

Advertisement

Dua lagi individu, masing-masing warga Kuwait dan Pakistan, turut cedera.

Kuwait menyifatkan kejadian itu sebagai serangan yang berpunca daripada "pencerobohan Iran", manakala Itali turut mengaitkan serangan tersebut dengan dron dari Iran.

Advertisement

Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menolak dakwaan berkenaan dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kuwait.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik media kerajaan Iran, Araghchi menegaskan Tehran "tidak mempunyai sebarang penglibatan" dalam insiden itu dan bersedia menjalankan siasatan bersama dengan Kuwait untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Jurucakap kanan angkatan tentera Iran, Abolfazl Shekarchi, turut menafikan sebarang operasi ketenteraan Iran di rantau berkenaan, sambil menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Tehran sebagai tidak berasas.

Susulan kejadian itu, kerajaan Itali memaklumkan akan mengemukakan bantahan rasmi kepada kedutaan Iran di Rom.

Tajani pada masa sama menggesa semua pihak mengelakkan tindakan yang boleh memperluaskan konflik ke negara-negara jiran yang tidak terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut.

Insiden terbaharu itu berlaku ketika konflik yang tercetus sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu terus merebak ke beberapa negara Teluk yang menempatkan aset serta pangkalan tentera AS.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan melahirkan rasa dukacita atas kematian kedua-dua rakyat negaranya.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement