Ringkasan AI
- Pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau Kapten AA, meninggal dunia di Muscat, Oman akibat jangkitan paru-paru pada Khamis.
- Allahyarham menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal dan ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas.
- Beliau berada di Oman untuk penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 dan pemergiannya dianggap kehilangan besar kepada komuniti RARETV.
KUALA LUMPUR: Pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
Berita pemergian Allahyarham disahkan keluarganya menerusi hantaran di platform Threads, sebelum turut dikongsikan rakan rapatnya, Saiful Nang.
Menurut beliau, Akhmal menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman, selepas waktu Maghrib.
Adik Allahyarham, Amal Mohd, dalam perkongsiannya meluahkan rasa kehilangan terhadap satu-satunya abang yang menjadi teman mereka membesar bersama, sambil menyatakan keluarga reda dengan pemergiannya.
Sementara itu, Saiful Nang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik dan disenangi ramai.
Berita pemergian itu mengundang ucapan takziah daripada rakan-rakan serta pengikut RARETV di media sosial.
Sebelum ini, beberapa laporan media termasuk TV AlHijrah dan Siakap Keli memaklumkan Akhmal berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami demam yang kemudiannya disahkan sebagai jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 di Oman.
Menurut laporan berkenaan, beliau pada mulanya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat untuk rawatan lanjut.
Akhmal turut dilaporkan ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi selepas mengalami kesukaran bernafas.
Allahyarham berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjayakan rakaman program yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari.
Ketika insiden berlaku, mereka dilaporkan berada pada hari keenam penggambaran.
Pemergian Akhmal yang dikenali menerusi kandungan kembara, dakwah dan pengembaraan di platform RARETV disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti pengikut serta rakan-rakan seangkatannya.
Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.