DUBAI: Iran dan Oman mencapai persefahaman mengenai koordinat geografi bagi laluan pelayaran melalui Selat Hormuz, dengan kenyataan bersama mengenai perkara itu kini berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan, menurut Kementerian Luar Iran pada Rabu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata rundingan antara Tehran dan Muscat berjalan secara profesional dan menunjukkan perkembangan positif, dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai parameter geografi laluan yang dicadangkan.
Beliau berkata kenyataan bersama yang merangkumi pertimbangan utama serta perkara yang dipersetujui sedang melalui proses semakan dan penyediaan akhir, dengan syarat tiada campur tangan daripada pihak ketiga.
Bagaimanapun, Baghaei menegaskan bahawa sebarang perjanjian antara Iran dan Oman tidak semestinya menjamin keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, yang menurutnya masih terjejas oleh tindakan Amerika Syarikat, termasuk sekatan maritim dan langkah yang dianggap mengancam kepentingan Iran.
Selat Hormuz merupakan antara laluan laut paling penting di dunia bagi perdagangan tenaga global.
Sebelum konflik semasa, kira-kira satu perlima daripada eksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui perairan strategik itu.
Menurut sumber kanan Iran dan pegawai serantau yang dipetik Reuters, cadangan perjanjian itu berpotensi memberi Tehran kawalan lebih besar terhadap kapal yang memasuki Teluk Arab melalui Selat Hormuz, sekali gus mencerminkan antara konsesi terbesar yang diberikan kepada Iran setakat ini.
Walaupun perkembangan itu dilihat sebagai langkah ke arah pembukaan semula laluan tersebut, beberapa sumber menegaskan masih terdapat butiran penting yang perlu dipersetujui sebelum sebarang pengumuman rasmi mengenai operasi penuh pelayaran dibuat.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan berhubung Selat Hormuz terus mendapat perhatian antarabangsa berikutan gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga global yang menyumbang kepada turun naik harga minyak dunia.