Skip to main content

Dunia

Iran pertahan cadangan damai, beri amaran kestabilan Asia Barat terjejas susulan tindakan AS

Sumber: Ministry of Foreign Affairs of the Islamic Republic of Iran
Esmaeil Baghaei menegaskan bahawa AS terus mengemukakan tuntutan tidak munasabah, manakala cadangan balas Iran yang diserahkan menerusi perantaraan Pakistan pada Ahad disifatkan sebagai tidak melampau dan bertanggungjawab. -Gambar fail

TEHRAN: Kestabilan dan keselamatan di Asia Barat didakwa semakin terjejas susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menolak maklum balas Tehran terhadap cadangan damai Washington bagi menamatkan konflik peperangan, lapor Al Jazeera.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menegaskan bahawa AS terus mengemukakan tuntutan tidak munasabah, manakala cadangan balas Iran yang diserahkan menerusi perantaraan Pakistan pada Ahad disifatkan sebagai tidak melampau dan bertanggungjawab.

“Apabila kami dipaksa untuk berperang, kami akan melawan, dan apabila ada ruang untuk diplomasi, kami akan merebut peluang itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Baghaei, setiap keputusan Iran dibuat berasaskan kepentingan nasional, sambil menegaskan negaranya telah membuktikan kesungguhan dalam melindungi kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut cadangan damai tersebut, beliau menyifatkan tawaran Iran sebagai cadangan sah yang merangkumi penamatan perang, penarikan sekatan ekonomi serta pembebasan aset Iran yang dibekukan secara tidak adil oleh institusi kewangan antarabangsa akibat tekanan AS.

“Laluan selamat melalui Selat Hormuz, selain usaha mewujudkan keselamatan di rantau ini termasuk Lubnan, merupakan antara tuntutan Iran yang dianggap sebagai tawaran pemurah dan bertanggungjawab demi kestabilan serantau,” jelasnya.

Kenyataan tegas itu hadir ketika harga minyak mentah dunia dilaporkan melonjak susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di rantau berkenaan.

Topic Berkaitan

Must Watch Video