WASHINGTON: Iran dilaporkan telah mengemukakan satu cadangan baharu kepada Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai persetujuan untuk membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan konflik semasa, menurut portal berita Axios.
Laporan itu, yang memetik seorang pegawai AS serta dua sumber yang mengetahui perkara tersebut, menyatakan bahawa cadangan Iran itu merangkumi usaha membuka semula laluan strategik Selat Hormuz dan menamatkan perang, dengan rundingan berkaitan isu nuklear ditangguhkan ke peringkat seterusnya.
Advertisement
Menurut Axios, cadangan berkenaan disampaikan kepada Washington melalui Pakistan yang bertindak sebagai perantara.
Bagaimanapun, laporan itu turut menyatakan bahawa sebarang persetujuan untuk membuka semula Selat Hormuz serta penarikan balik sekatan AS ke atas pelabuhan Iran berpotensi mengurangkan pengaruh Washington dalam usaha menekan Tehran supaya mengurangkan stok uranium diperkaya dan bersetuju menggantung aktiviti pengayaan uranium sekurang‑kurangnya untuk tempoh satu dekad.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan tenaga yang amat penting, dengan sebahagian besar eksport minyak dan gas dunia melalui perairan itu.
Sebarang perkembangan berkait pembukaannya dijangka memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global serta hubungan diplomatik di Asia Barat.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Iran atau AS berhubung laporan tersebut.