TEHRAN: “Kini, sebarang pencerobohan terhadap kepentingan dan keselamatan Iran akan menerima balasan yang lebih pantas, lebih dahsyat dan lebih menyakitkan,” tegas Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf.
Menurutnya, Amerika Syarikat (AS) seharusnya memahami bahawa era “tindak balas setimpal” oleh Iran sudah berakhir.
Beliau menegaskan, serangan Iran terhadap pangkalan pihak yang disifatkannya sebagai penceroboh dalam operasi terbaharu hanyalah satu permulaan.
“Sekiranya mereka (AS) masih belum faham, mereka perlu sedar sebelum terlambat bahawa aturan 'permainan' sudah berubah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Parlimen di Tehran hari ini menerusi sebuah klip rakaman yang disiarkan di aplikasi Telegram.
Ghalibaf mendakwa serangan dahsyat tentera Iran terhadap pangkalan AS telah menyebabkan pemimpin negara itu berada dalam keadaan terdesak.
Beliau turut mendakwa AS menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video dari medan perang, selain mengeluarkan kenyataan serta slogan yang disifatkannya sebagai kosong.
“Keteguhan dan kewibawaan ini terus dipertahankan ketika kita berada di tengah-tengah perang habis-habisan berdepan seluruh barisan kekufuran,” katanya lagi.
Ketegangan kembali memuncak pada Sabtu selepas AS menyerang tiga kapal tangki minyak Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal perangnya.
Iran mengecam tindakan itu sebagai serangan terhadap kapal komersial serta sebahagian daripada sekatan maritim dan perang ekonomi AS.
Perkembangan itu menyusuli berakhirnya tempoh rundingan 60 hari pada 17 Ogos tanpa penyelesaian, susulan pertikaian mengenai Selat Hormuz dan program nuklear Iran.
Tempoh rundingan itu ditetapkan menerusi perjanjian 17 Jun yang turut menggariskan penghentian operasi ketenteraan antara kedua-dua pihak.
Konflik AS-Iran berlarutan sejak Washington dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu.