INTERNATIONAL
Iran tidak akan tunduk pada mana-mana pembuli - Presiden Pezeshkian

Presiden Pezeshkian menegaskan, Iran tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan, susulan kritikan Presiden Trump yang menuduh Tehran terlibat dalam perang proksi di rantau Teluk. - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, negaranya tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan, susulan kritikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menuduh Tehran terlibat dalam perang proksi di rantau Teluk.
“Dia (Trump) fikir dia boleh datang ke sini, laungkan slogan dan menakutkan kami. Bagi kami, mati syahid jauh lebih manis daripada mati di atas katil.
“Kamu datang untuk menakutkan kami? Kami tidak akan tunduk kepada mana-mana pembuli,” kata Pezeshkian dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen nasional pada Rabu.
Sebelum itu, pada Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Trump menyatakan hasratnya untuk mencapai perjanjian dengan Iran, namun menegaskan, Tehran mesti menghentikan sokongan terhadap kumpulan pengganas, menamatkan perang proksi berdarah, serta menghentikan sepenuhnya program senjata nuklear secara kekal dan boleh disahkan.Menurut laporan, Washington dan Tehran telah mengadakan empat rundingan yang dimediasi oleh Oman bagi mencapai kata sepakat mengenai program nuklear Iran.
Dalam satu majlis makan malam negara di ibu negara Qatar, Doha, pada Rabu, Trump mengulangi pendiriannya bahawa beliau mahu penyelesaian secara aman dicapai berhubung isu nuklear Iran dan menyatakan bahawa langkah seterusnya terletak di tangan Tehran.
“Ia situasi yang berbahaya, dan kami mahu lakukan perkara yang betul. Kami mahu buat sesuatu yang boleh menyelamatkan berjuta nyawa. Kerana perkara seperti ini boleh tercetus dan jadi di luar kawalan,” katanya.
Pada Selasa, Trump menegaskan, beliau bersedia untuk membuat perjanjian dengan Iran, tetapi jika kepimpinan Iran menolak "ranting zaitun" (tawaran perdamaian) yang dihulurkan, Amerika Syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tekanan maksimum.
Beliau turut mengulangi penegasannya tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.
Sejak sekian lama, pentadbiran Amerika Syarikat cuba menghalang Iran daripada membina senjata nuklear.
Usaha itu membuahkan hasil melalui Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2015 di bawah pentadbiran Barack Obama.
Namun, sebaik Trump mengambil alih jawatan Presiden, beliau bertindak menarik diri secara sepihak daripada perjanjian tersebut pada 2018, sekali gus menyebabkan JCPOA terbatal.
Meskipun terdapat rundingan yang berterusan, pentadbiran Trump tetap meneruskan tekanan ke atas Iran dengan pelbagai sekatan.
Pada Rabu, Amerika Syarikat mengumumkan sekatan baharu terhadap Iran, menyasarkan individu dan entiti yang didakwa terlibat dalam usaha membangunkan komponen tempatan untuk peluru berpandu balistik.
Jabatan Perbendaharaan AS berkata, enam individu dan 12 entiti telah dikenakan sekatan kerana terlibat dalam usaha menyokong program peluru berpandu Iran dengan membekalkan bahan-bahan kritikal yang diperlukan untuk pembinaan sistem senjata itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami