Skip to main content

Dunia

Iran tidak gentar, ancaman sekatan AS langkah terdesak yang akan gagal - Abbas Araqchi

FILE PHOTO: Iranian Foreign Minister Abbas Araqchi attends a press conference alongside Iraqi Foreign Minister Fuad Hussein (not pictured), in Baghdad, Iraq, June 28, 2026. REUTERS/Thaier Al-Sudani/File Photo
Araqchi berkata, rancangan AS untuk mengenakan sekatan lebih ketat membuktikan negara itu telah beralih daripada tindakan ketenteraan kepada strategi lama yang menurutnya tidak pernah berjaya. - Gambar Reuters
Advertisement

DUBAI: Iran menolak ancaman sekatan ekonomi baharu oleh Amerika Syarikat (AS), menyifatkannya sebagai tanda "keterdesakan" Washington serta menegaskan langkah tersebut tidak akan berjaya melemahkan Tehran.

Menteri Luarnya, Abbas Araqchi berkata, rancangan AS untuk mengenakan sekatan lebih ketat membuktikan negara itu telah beralih daripada tindakan ketenteraan kepada strategi lama yang menurutnya tidak pernah berjaya.

"Fakta bahawa mereka (pemimpin AS) beralih daripada operasi ketenteraan kepada mengemukakan semula rancangan lama menunjukkan mereka berada dalam keadaan terdesak," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Telegram pada Ahad.

Araqchi berkata, sebarang penyelesaian kepada konflik semasa hanya boleh dicapai jika Washington berunding dengan Iran secara hormat dan berasaskan prinsip keadilan serta maruah.

"Kami tidak pernah takut. Semua tindakan mereka, sama ada sekatan atau langkah ketenteraan lain, telah gagal dan isu baharu yang mereka bangkitkan ini juga akan gagal," katanya.

Kenyataan beliau hadir selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengancam untuk mengenakan "sekatan paling keras dalam sejarah" terhadap Iran. 

Bessent dijadual mengadakan sidang media pada Isnin.

Ekonomi Iran kini berdepan tekanan hebat akibat sekatan antarabangsa, selain kerosakan besar terhadap infrastruktur negara itu dan kehilangan ribuan nyawa susulan serangan udara sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas republik Islam berkenaan pada 28 Februari lalu.

Namun, selepas hampir enam bulan konflik berlarutan, Tehran kekal berpendirian tegas dan terus menyekat laluan kapal tangki minyak yang tidak dibenarkan melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi penghantaran minyak global.

Tindakan itu menyebabkan gangguan besar kepada perdagangan tenaga dunia dan menyumbang kepada peningkatan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi amaran tentang kesan ekonomi terhadap mana-mana negara yang memberikan "sebarang bentuk talian hayat" kepada Iran.

Beliau turut menggesa China, yang membeli lebih 80 peratus eksport minyak Iran menurut data firma analitik Kpler bagi tahun 2025, untuk bekerjasama dengan Washington. 

Bagaimanapun, Beijing terus menggesa penyelesaian diplomatik bagi konflik tersebut.

Panglima Tentera Pakistan bakal ke Tehran

Dalam perkembangan berkaitan, Iran mengumumkan Panglima Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir akan melawat Tehran pada Isnin sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan keamanan dan keselamatan di rantau itu.

Walaupun butiran lawatan tidak didedahkan secara terperinci, sumber kerajaan Pakistan berkata, Munir dijangka membincangkan perkembangan terkini termasuk ancaman sekatan baharu oleh AS.

Jumaat lalu, Trump berkata, Washington masih memerhati perkembangan semasa konflik berkenaan.

"Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi pada pandangan saya mereka belum bersedia untuk membuat perjanjian yang betul," katanya merujuk kepada Iran.

Walaupun serangan AS memberi kesan besar kepada ekonomi Iran serta melemahkan keupayaan tentera laut dan udara negara itu, Tehran masih memiliki kemampuan peluru berpandu dan dron yang cukup untuk mengganggu pergerakan kapal tangki minyak serta menyerang pesaing serantaunya.

Pada Sabtu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf berkata, Tehran menerima "banyak mesej" daripada negara jiran mengenai kemungkinan pembentukan aturan keselamatan serantau baharu dan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan negara yang dimaksudkan, sambil menuduh AS mengorbankan keselamatan sekutunya di rantau itu demi kepentingan Israel.

Menurut Qalibaf, sistem keselamatan serantau yang dibangunkan secara bebas oleh negara-negara di rantau itu mampu menjamin keamanan dan kestabilan yang lebih mampan.

Sehingga kini, Trump masih belum mencapai beberapa objektif utama yang digariskan pada permulaan konflik, termasuk melumpuhkan sepenuhnya program nuklear Iran serta mewujudkan keadaan yang boleh membawa kepada perubahan kepimpinan di negara itu.

Walaupun terus mempertahankan pendiriannya, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menggesa penyelesaian konflik menerusi saluran diplomatik.

"Adalah lebih baik perang ini ditamatkan hari ini ketika kita berada dalam keadaan kuat dan bermaruah, serta dunia mengiktiraf kemenangan kita dan menyedari bahawa Amerika telah menyerang sekolah, hospital dan infrastruktur kita bertentangan dengan semua peraturan," katanya seperti dipetik agensi berita ISNA. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement