DUNIA
Iran tuntut Israel, Amerika Syarikat bertanggungawab atas ‘perang pencerobohan’
RIO DE JANEIRO: Iran menggesa agar Israel dan Amerika Syarikat dipertanggungjawabkan berhubung serangan mengejut ke atas negara itu yang disifatkan sebagai tindakan pencerobohan berskala besar, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 935 nyawa.
Menteri Luarnya, Abbas Araghchi memberi amaran bahawa kegagalan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan terhadap Israel hanya akan mengheret seluruh rantau dan dunia kepada krisis yang lebih parah.
“Serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear kami bukan sahaja melanggar prinsip Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), malah turut mencabuli Resolusi 2231 Majlis Keselamatan PBB yang mengiktiraf program nuklear aman Iran pada 2015,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak BRICS di Brazil, menurut laporan Press TV.
Tambah Araghchi, penglibatan langsung Amerika dalam menyerang kemudahan nuklear aman Iran menunjukkan dengan jelas bahawa Washington bersubahat sepenuhnya dalam ‘perang pencerobohan’ yang dilancarkan oleh Israel.Iran turut menerima sokongan daripada negara-negara BRICS+ yang bersidang di Rio de Janeiro, apabila blok 11 negara itu sebulat suara mengecam tindakan ketenteraan yang disasarkan ke atas sasaran ketenteraan, nuklear dan awam di Iran.
“Kami mengecam serangan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran sejak 13 Jun 2025,” kata pemimpin-pemimpin BRICS dalam kenyataan bersama, tanpa menyebut secara langsung nama Israel atau Amerika Syarikat.
Blok itu turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap serangan yang disifatkan sebagai disengajakan ke atas infrastruktur awam dan fasiliti nuklear aman Iran.
Pengisytiharan itu dilihat sebagai kejayaan diplomatik penting buat Tehran, yang sebelum ini berdepan kekurangan sokongan dari peringkat serantau dan global susulan kempen pengeboman selama 12 hari oleh Israel, yang berakhir dengan serangan udara Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran di Natanz, Fordow dan Isfahan.
Serangan mengejut Israel pada 13 Jun lalu menyasarkan fasiliti ketenteraan, nuklear dan awam Iran, dengan Kementerian Kesihatan Iran mengesahkan sekurang-kurangnya 935 terkorban dan 5,332 lagi cedera.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa kawasan di Israel, mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan lebih 3,400 individu, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti Ibrani di Jerusalem.
Keganasan itu berakhir dengan pelaksanaan gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat yang mula berkuat kuasa pada 24 Jun dan masih dikekalkan sehingga kini. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami