TEHRAN: Ketua bola sepak Iran menegaskan penyertaan negara itu dalam Piala Dunia bergantung kepada jaminan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghina angkatan tenteranya, khususnya Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Mehdi Taj, berkata pihaknya akan mendapatkan jaminan daripada FIFA berhubung perkara itu sebelum pasukan berlepas ke kejohanan berkenaan.
“Jika pihak AS memberi jaminan tidak akan menghina institusi ketenteraan kami termasuk IRGC, kami akan pergi,” katanya kepada penyiar negara, IRIB.
Taj merujuk insiden minggu lalu di Kanada, apabila delegasi FFIRI berpatah balik dari Lapangan Terbang Toronto walaupun memiliki visa sah, susulan layanan yang disifatkan tidak boleh diterima oleh pegawai imigresen.
Menurut FFIRI, tindakan itu termasuk penghinaan terhadap salah satu institusi penting angkatan bersenjata Iran.
Kanada sebelum ini mengklasifikasikan IRGC sebagai organisasi pengganas, dan dilaporkan menolak kemasukan pegawai yang mempunyai kaitan dengan badan tersebut.
Taj turut menegaskan bahawa Iran akan membangkitkan isu jaminan keselamatan dan layanan hormat dalam pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, di Zurich dalam masa terdekat.
Walaupun berdepan ketegangan politik, beliau berkata persiapan pasukan berjalan lancar, termasuk kem latihan di Iran dan Turkiye sebelum berlepas ke AS pada Jun.
“Iran layak ke Piala Dunia dan akan bertanding. Tuan rumah kami ialah FIFA, bukan Donald Trump atau AS,” katanya.
Iran dijadual membuka kempen menentang New Zealand pada 15 Jun di Los Angeles, sebelum berdepan Belgium dan Mesir dalam saingan peringkat kumpulan.