Iran tutup sementara ruang udara, paksa syarikat penerbangan ubah laluan

Hanya penerbangan antarabangsa yang berlepas atau tiba di Iran dengan kebenaran rasmi dibenarkan melalui ruang udara negara itu. - Foto X/@BRICSinfo
TEHRAN: Iran telah menutup ruang udaranya buat sementara waktu kepada kebanyakan penerbangan, menyebabkan syarikat penerbangan membatalkan, mengubah laluan atau menangguhkan penerbangan mereka, menurut laporan antarabangsa.
Menurut notis yang disiarkan oleh pihak berkuasa penerbangan, penutupan ruang udara itu bermula pada kira-kira 5.15 petang waktu Timur AS dan dirancang berlanjutan lebih daripada dua jam, sehingga sekitar 7.30 petang waktu yang sama, meskipun tempohnya bersifat anggaran.
Dalam tempoh itu, hanya penerbangan antarabangsa yang berlepas atau tiba di Iran dengan kebenaran rasmi dibenarkan melalui ruang udara negara itu.
Penutupan ini memaksa beberapa syarikat penerbangan termasuk IndiGo, Aeroflot dan Lufthansa untuk menyesuaikan operasi mereka, dengan sesetengah penerbangan dialihkan, dibatalkan atau berpatah balik.
Sebagai contoh, Aeroflot terpaksa mengembalikan salah satu penerbangannya ke Moscow selepas ruang udara Iran ditutup.
Jerman turut mengeluarkan nasihat menerusi pihak berkuasa penerbangan agar pesawat mengelakkan ruang udara Iran kerana ancaman keselamatan dan risiko mungkin berlaku salah kenal pesawat awam oleh sistem pertahanan udara.
Syarikat seperti Flydubai dan Turkish Airlines sebelum ini telah membatalkan beberapa penerbangan ke Iran dalam beberapa minggu kebelakangan.
Langkah mengejut ini berlaku ketika ketegangan serantau meningkat, termasuk kebimbangan tentang kemungkinan tindakan ketenteraan selepas amaran mengenai potensi serangan terhadap pangkalan tentera asing jika konflik berkembang.
Walaupun notis rasmi tidak menyatakan sebab khusus penutupan itu, penutupan sementara ruang udara biasanya dilakukan sebagai langkah keselamatan apabila situasi dianggap tidak stabil.
Penutupan ruang udara sebegini memberi kesan kepada laluan penerbangan global, di mana pesawat yang biasanya terbang di laluan terus berdekatan Iran terpaksa mengelak melalui laluan yang lebih jauh, meningkatkan kos dan masa penerbangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


