Skip to main content

Dunia

Iraq tingkat kapasiti eksport minyak melebihi tiga juta tong sehari

A group of people stands in shallow water as a cargo ship appears anchored in the Strait of Hormuz off Bandar Abbas, Iran, Tuesday, June 30, 2026. (Amirhosein Khorgooi/ISNA via AP)
Baghdad turut berusaha memperluas laluan eksport alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz. - Gambar fail/ AP
Advertisement

ISTANBUL: Iraq meningkatkan kapasiti eksport minyak mentahnya kepada lebih tiga juta tong sehari dan merancang meningkatkannya kepada lima juta tong sehari ketika negara itu membangunkan laluan baharu yang tidak melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik Menteri Minyak Basim Mohammed Khudair pada Ahad.

Khudair memberitahu Agensi Berita Iraq (INA) bahawa eksport telah mencecah kira-kira tiga juta tong sehari sejak awal September.

Beliau berkata, kerajaan mahu meningkatkan kapasiti itu kepada lima juta tong sehari selepas saluran paip strategik yang menghubungkan medan minyak Iraq dengan Fishkhabur di utara dan pelabuhan Banias di Syria yang terletak di Mediterranean siap dibina.

Baghdad turut berusaha memperluas laluan eksport alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz.

Bulan lepas, Perdana Menteri, Ali Faleh al-Zeidi mengarahkan kerja diteruskan bagi dua laluan saluran paip strategik, iaitu Basra-Haditha-Fishkhabur dan Haditha-Banias.

Laluan utara akan menghubungkan medan minyak di selatan dengan Fishkhabur berhampiran sempadan Turkiye, sekali gus menyediakan akses ke saluran paip Kirkuk-Ceyhan dan pelabuhan Ceyhan di Mediterranean, Turkiye.

Laluan barat pula akan menghubungkan Haditha dengan pelabuhan Banias di Syria, sekali gus menyediakan satu lagi laluan bagi Iraq ke Mediterranean dan berpotensi menghidupkan semula koridor minyak bersejarah antara kedua-dua negara.

Kerajaan memaklumkan. projek itu bertujuan mempelbagaikan laluan eksport dan meningkatkan keupayaan Iraq untuk mengeksport minyak mentah ke luar negara.

Iraq mempunyai kira-kira 145 bilion tong rizab minyak terbukti, menurut angka rasmi. 

Pengeluaran minyak negara itu merosot kepada kira-kira 1.3 juta tong sehari semasa perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari, berbanding 3.3 juta tong sehari sebelum konflik itu, sebelum mula pulih pada Julai dan Ogos.

Usaha menyediakan laluan eksport alternatif itu dilakukan ketika gangguan di Selat Hormuz berterusan susulan ketegangan antara Washington dan Tehran.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement