Skip to main content

Dunia

IRGC Iran dedah peta "kawasan kawalan" baharu di Selat Hormuz

Hormuz
Mana-mana kapal yang gagal mematuhi arahan tentera laut Pengawal Revolusi itu akan berhadapan dengan "risiko serius."

TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendedahkan pada Isnin peta yang menggariskan "kawasan kawalan" baharu di Selat Hormuz, laluan air sempit yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, lapor Xinhua.

Peta itu diterbitkan oleh portal berita IRGC, Sepah News, yang turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang gagal mematuhi arahan tentera laut Pengawal Revolusi itu akan berhadapan dengan "risiko serius."

Advertisement

Zon berkenaan meliputi kawasan dari pantai selatan Iran berhampiran Kooh Mobarak hingga ke bandar pelabuhan Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di bahagian timur, manakala di sebelah barat pula merangkumi garisan antara Pulau Qeshm di Iran dan Wilayah Umm al-Quwain di UAE di Teluk Parsi.

Jurucakap IRGC Hossein Mohebi berkata pengumuman itu tidak menggambarkan perubahan dalam pengurusan keseluruhan laluan air berkenaan, lapor Sepah News.

Menurutnya, kapal komersial yang mematuhi protokol transit yang ditetapkan oleh Tentera Laut Pengawal Revolusi serta melakukan penyelarasan dengan pihak berkuasa Iran di sepanjang laluan yang ditetapkan akan dibenarkan melalui kawasan itu dengan selamat. Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa kapal yang melanggar peraturan itu boleh dihentikan secara paksa.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan membantu mengiringi kapal-kapal yang terkandas di selat berkenaan keluar dari perairan larangan itu pada Isnin.

Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran - markas tertinggi tentera negara itu - membalas dengan memberi amaran bahawa mana-mana pasukan asing, terutamanya tentera AS, akan disasarkan jika mereka cuba memasuki atau mendekati selat itu, lapor agensi berita rasmi IRNA.

Iran mula memperketatkan kawalannya di selat itu pada 28 Feb, dengan menyekat laluan bagi kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel dan AS selepas kedua-dua negara itu melancarkan serangan bersama ke atas wilayah Iran.

AS kemudiannya mengenakan langkah sekatan sendiri selepas rundingan pasca gencatan senjata antara kedua-dua pihak di Islamabad pada 11-12 April gagal mencapai sebarang persetujuan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

Must Watch Video