MANAMA (Bahrain): Israel membuka kedutaan baharunya di Bahrain pada Isnin, beberapa hari sebelum ulang tahun ketiga perjanjian yang ditaja oleh AS di mana kerajaan itu bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan Israel, Xinhua memetik laporan Agensi Berita Bahrain.

Kedutaan itu secara rasmi dibuka dengan kehadiran Menteri Luar Israel Eli Cohen, agensi berita itu memetik Menteri Luar Bahrain Abdullatif bin Rashid Al Zayani sebagai berkata.

Diplomat tertinggi Bahrain itu berkata "langkah bersejarah tersebut merupakan satu lagi peristiwa penting dalam hubungan antara kedua-dua negara".

Semasa sidang media bersama, pegawai Bahrain itu mengulangi "pendirian tegas kerajaan dalam menyokong mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan mampan yang menjamin hak sah rakyat Palestin", menurut laporan itu.

Kunjungan itu menandakan lawatan pertama Cohen ke salah satu negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham pada 2020, yang turut termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Maghribi.

Semasa lawatan itu, Cohen dan rakan sejawatnya dari Bahrain membincangkan cara untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pertukaran teknologi, latihan dan pelancongan, menurut laporan itu.

Dalam pertemuannya dengan Putera Mahkota Bahrain dan Perdana Menteri Salman bin Hamad Al Khalifa di ibu kota Bahrain, Manama pada hari Isnin, Cohen menyatakan hasrat Israel untuk menandatangani perjanjian normalisasi dengan lebih banyak negara Arab, kata Kementerian Luar Israel.

--BERNAMA-XINHUA



TAG: Israel, kedutaan, Bahrain