ISTANBUL: Sebuah kapal terbakar berhampiran pantai Oman pada Isnin sebelum pihak berkuasa India mengumumkan kesemua 24 kru warga India di atas kapal itu selamat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pengarah di Kementerian Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air India Opesh Kumar Sharma berkata kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari (0800 GMT) di kapal MT Marivex.
"Mengikut maklumat yang ada, semua pelaut India kini selamat," katanya menerusi X.
Oman terletak bersebelahan Selat Hormuz yang kini berada di bawah sekatan dan berhampiran ketegangan yang baharu tercetus antara Iran dan Israel.
Kesatuan Pelaut Hadapan India berkata sebelum ini pada X, 24 pelaut India di atas kapal itu berhampiran pantai Oman sedang mendapatkan bantuan segera.
Menurut News18, memetik sumber maritim, kapal itu terbakar disyaki kerana serangan dron atau peluru berpandu.
Laporan itu menyatakan letupan berkenaan merosakkan bilik enjin kapal.
Marivex ialah kapal tangki minyak/kimia yang belayar di bawah bendera Palau.
-- BERNAMA-ANADOLU