BAITULMUQADDIS: Israel dilapor menguasai lebih 1,000 kilometer persegi kawasan di Gaza, Lubnan, dan Syria dalam tempoh kira-kira dua setengah tahun, sekali gus menandakan peluasan wilayah pendudukan tentera terbesar dalam beberapa dekad.
Berdasarkan data agensi berita The Associated Press (AP), Israel kini menguasai kira-kira 608 kilometer persegi di Lubnan.
Selain itu, kawasan seluas 194 kilometer persegi di Gaza serta 235 kilometer persegi di Syria turut berada di bawah kawalan tenteranya.
Secara keseluruhan, keluasan kawasan tersebut dianggarkan bersamaan kira-kira lima peratus daripada saiz wilayah Israel ketika negara haram itu diasaskan.
Perkembangan itu susulan konflik yang tercetus sejak 2023, yang menyaksikan operasi ketenteraan berterusan di beberapa wilayah berkenaan.
Laporan sama menyebut tindakan tersebut telah menyebabkan lebih tiga juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah dari kawasan masing-masing.
Pencerobohan berterusan ini mencetuskan kecaman hebat daripada komuniti antarabangsa memandangkan situasi perang yang semakin meruncing di rantau Asia Barat menjejaskan usaha damai yang sedang dirundingkan.