RAMALLAH / ISTANBUL: Israel meluluskan pelan bagi pembinaan kawasan penempatan haram baharu yang merangkumi kira-kira 650 unit rumah di selatan Baitulmuqaddis, laporkan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan Pihak Berkuasa Baitulmuqaddis Palestin pada Isnin.
Pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Jawatankuasa Perancangan dan Pembinaan Daerah Israel telah mengemukakan pelan bagi cadangan penempatan "Nofei Rachel", yang bakal meliputi kawasan seluas kira-kira 27 dunam (2.7 hektar) bersebelahan dengan kediaman penduduk Palestin.
Ia memberi amaran bahawa kesan projek itu melangkaui jumlah unit yang dirancang, sambil menekankan bahawa lokasinya akan menjejaskan kehidupan harian penduduk Palestin di kawasan berkenaan secara langsung.
Menurut kenyataan itu pelan berkenaan merupakan sebahagian daripada dasar penempatan Israel yang bertujuan menyekat kehadiran dan perluasan bandar Palestin, di samping memperluaskan petempatan haram serta mewujudkan keadaan nyata yang baharu di lapangan.
Pada Isnin, kumpulan hak asasi Israel, Ir Amim, memaklumkan bahawa Israel telah memajukan tiga projek petempatan utama yang melibatkan lebih 3,400 unit rumah di Baitulmuqaddis Timur dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebahagian besar negara menganggap petempatan Israel yang dibina di atas tanah Palestin yang diduduki sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa dan menegaskan bahawa tindakan itu menjejaskan prospek penyelesaian dua negara.
Kumpulan gerakan Peace Now dari Israel menganggarkan kira-kira 500,000 pendatang haram tinggal di Tebing Barat, selain kira-kira 250,000 lagi di petempatan haram di Baitulmuqaddis Timur.
-- BERNAMA-ANADOLU