INTERNATIONAL
'Israel sedang melakukan jenayah perang’ di Gaza - Bekas PM Ehud Olmert

Olmert menuduh kerajaan pimpinan kini “melancarkan peperangan tanpa tujuan, tanpa matlamat, tanpa perancangan yang jelas dan tiada peluang untuk berjaya.” - Gambar fail AP
LONDON: Israel sedang “melakukan jenayah perang” di Gaza dan “ribuan rakyat Palestin yang tidak bersalah sedang terbunuh,” dakwa bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dalam satu rencana pendapat yang disiarkan oleh akhbar Haaretz.
Olmert, yang pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-12 Israel dari tahun 2006 hingga 2009, menuduh kerajaan pimpinan kini “melancarkan peperangan tanpa tujuan, tanpa matlamat, tanpa perancangan yang jelas dan tiada peluang untuk berjaya.”
Beliau menambah: “Sejak penubuhannya, negara Israel tidak pernah melancarkan peperangan seperti ini … Kumpulan penjenayah yang diketuai oleh (Perdana Menteri) Benjamin Netanyahu telah mencipta satu duluan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Israel dalam hal ini.”
Olmert, yang juga bekas anggota parti Likud pimpinan Netanyahu, menyifatkan jumlah “korban sia-sia dalam kalangan penduduk Palestin” telah mencapai tahap “amat dahsyat” dalam beberapa minggu kebelakangan ini.Beliau turut mendakwa, operasi ketenteraan Israel di Gaza tidak mempunyai kaitan dengan “matlamat peperangan yang sah,” sebaliknya menggambarkannya sebagai “perang politik peribadi” yang telah menukarkan wilayah Gaza kepada “zon bencana kemanusiaan.”
“Saya pernah cuba menafikan dakwaan bahawa Israel melakukan jenayah perang di Gaza, tetapi kini saya tidak mampu lagi berbuat demikian.
"Apa yang sedang berlaku di Gaza sekarang ialah perang pemusnahan: pembunuhan orang awam secara sembarangan, tanpa had, kejam dan jenayah,” katanya.
Tambah beliau lagi: “Ini adalah hasil daripada dasar kerajaan - dengan sengaja, jahat, penuh niat buruk dan tanpa tanggungjawab. Ya, Israel sedang melakukan jenayah perang.”
Dalam satu wawancara bersama BBC minggu lalu, Olmert menyifatkan konflik di Gaza sebagai “peperangan tanpa tujuan - peperangan yang tidak mampu mencapai apa-apa untuk menyelamatkan nyawa tebusan.”
Kenyataan Olmert turut mengikut jejak langkah kenyataan serupa oleh Yair Golan, seorang ahli politik berpengaruh dan bekas Timbalan Ketua Staf Tentera Israel.
Dalam temu bual bersama penyiar nasional Kan minggu lalu, Golan menegaskan, “sebuah negara yang waras tidak berperang dengan orang awam, tidak membunuh bayi sebagai hobi, dan tidak menjadikan pengusiran penduduk sebagai matlamatnya.” - Arab News

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami