Skip to main content

Dunia

Israel terus lancar serangan walaupun perjanjian gencatan senjata

FILE PHOTO: A drone view shows damaged and destroyed buildings, destroyed in the Israeli military offensive, following a ceasefire between Israel and Hamas, in Khan Younis in the southern Gaza Strip January 24, 2025. REUTERS/Mohammed Salem/File Photo
Sikap Israel yang tidak mempedulikan usaha antarabangsa untuk menamatkan jenayah yang didakwa dilakukan terhadap rakyat Palestin berisiko memburukkan lagi keadaan. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

RAMALLAH: Israel terus melancarkan serangan ketenteraan ke atas rakyat Palestin walaupun terdapat pengumuman mengenai persetujuan untuk melaksanakan fasa kedua gencatan senjata di Gaza, menurut jurucakap presiden Palestin Nabil Abu Rudeineh pada Isnin, seperti dilaporkan oleh Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Beliau berkata persetujuan itu telah menjadi "perjanjian di atas kertas dan kematian di lapangan", sambil menambah bahawa ia tidak membawa kepada penghentian permusuhan secara menyeluruh mahupun melindungi rakyat Palestin.

Beliau memberi amaran bahawa sikap Israel yang tidak mempedulikan usaha antarabangsa untuk menamatkan jenayah yang didakwa dilakukan terhadap rakyat Palestin berisiko memburukkan lagi keadaan.

Nabil merujuk kepada serangan berterusan terhadap kem pelarian dan desa Palestin sebagai sebahagian daripada apa yang disifatkannya sebagai usaha lebih giat untuk melemahkan kehadiran rakyat Palestin serta melenyapkan isu pelarian.

Jurucakap presiden itu menegaskan semula seruan kepimpinan Palestin kepada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar memikul tanggungjawab terhadap rakyat Palestin dan mengambil langkah segera serta tegas bagi mendesak pihak berkuasa penjajah melaksanakan fasa kedua perjanjian tersebut.

Turut digesa agar pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur yang diduduki dihentikan serta menyediakan perlindungan antarabangsa segera untuk rakyat Palestin.

Beliau seterusnya berkata keadaan di mana pihak penjajah terus terlepas daripada tindakan undang-undang telah menggalakkan lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau menambah tidak akan wujud keselamatan atau kestabilan di rantau ini selagi penjajahan tidak ditamatkan dan pencerobohan tidak dihentikan, serta selagi jalan belum dibuka ke arah keamanan yang adil dan berkekalan berdasarkan resolusi legitimasi antarabangsa, Inisiatif Keamanan Arab dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement