INTERNATIONAL
Isu Kashmir merupakan modal politik penting Narendra Modi

Pendekatan Modi yang berteraskan ideologi Hindutva membolehkannya kekal berkuasa kerana meraih sokongan besar daripada komuniti majoriti Hindu di India. - Reuters/AP
KUALA LUMPUR : Ketegangan yang berlaku pada ketika ini antara India dan Pakistan mempunyai kaitan dengan isu wilayah Kashmir yang dijadikan modal politik oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Dr. Azharudin Mohamed Dali, pendekatan Modi yang berteraskan ideologi Hindutva membolehkannya kekal berkuasa kerana meraih sokongan besar daripada komuniti majoriti Hindu di India.
"Bagi saya secara peribadi, dalam meneliti isu ini, ia mempunyai kaitan dengan apa yang dilaksanakan oleh Narendra Modi selama ini iaitu berusaha untuk mengurangkan pengaruh dan kekuatan Islam termasuk di dalam isu Kashmir.
"Sebut tentang strategi, sebut tentang kepentingan ekonomi dan sebagainya tetapi dalam hal ini saya fikir, kepentingan Kashmir masih lagi sebagai modal politik Narendra Modi untuk terus memegang kuasa di India," katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu. Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar peranan pihak ketiga dipertimbang bagi meredakan ketegangan antara India dan Pakistan.
“Isu Kashmir mungkin tidak akan menemui penyelesaian dalam masa terdekat, mungkin sehingga 50 tahun lagi.
“Tetapi dalam usaha meredakan situasi semasa, pihak ketiga perlu tampil sebagai perantara.
“Malah, cadangan agar insiden yang berlaku di Kashmir disiasat oleh pihak berkecuali adalah sesuatu yang wajar diketengahkan oleh mana-mana negara,” ujarnya.
Jelas beliau, baik India mahupun Pakistan wajar bersetuju dengan perkara itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami