ROM: Itali akan mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di sekolah serta mengehadkan bilangan pelajar asing dalam setiap kelas, kata Perdana Menteri berhaluan kanan, Giorgia Meloni pada Ahad.
Itali yang menjadi antara pintu masuk utama migran ke Eropah menyaksikan isu integrasi semakin mendapat perhatian menjelang pilihan raya umum negara itu tahun depan.
Menurut Meloni, kerajaan bakal membentangkan satu langkah baharu dalam mesyuarat Kabinet bagi menetapkan secara sah jumlah maksimum pelajar asing yang dibenarkan dalam sesebuah kelas.
“Langkah itu juga mewajibkan ibu bapa kepada pelajar asing yang menghadapi kesukaran serius untuk menyesuaikan diri dalam sistem persekolahan supaya mempelajari bahasa Itali, selain mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di sekolah,” katanya ketika berucap di hadapan sayap pemuda parti Brothers of Italy (FdI).
Cadangan memperketat penggunaan burqa di sekolah sebelum ini turut diketengahkan pada Julai lalu oleh parti National Future (FN).
FN yang tidak menyertai kerajaan pimpinan Meloni dilihat lebih konservatif dan berada lebih ke kanan berbanding FdI, selain muncul sebagai pencabar baharu yang semakin mendapat sokongan sejak ditubuhkan pada Februari lalu.
Ketika ini, Itali tidak mempunyai undang-undang khusus yang melarang pemakaian burqa sama ada di sekolah mahupun di tempat awam.
Bagaimanapun, undang-undang yang diperkenalkan pada 1975 melarang penggunaan topi keledar atau pakaian yang menyukarkan pengenalan identiti seseorang tanpa alasan yang sah.
Pada 2008, mahkamah pentadbiran tertinggi Itali menjelaskan bahawa penutup muka penuh boleh dipakai atas alasan agama atau budaya, dengan syarat wajah pemakainya ditunjukkan apabila pengesahan identiti diperlukan.
Awal tahun ini, parti anti-imigran Liga yang turut menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Meloni mengemukakan rang undang-undang di Senat bagi melarang penggunaan topi keledar atau pakaian yang menutupi identiti kecuali dalam keadaan tertentu seperti acara sukan atau di rumah ibadat.
Sementara itu, had bilangan pelajar asing dalam sesebuah kelas sebenarnya telah lama wujud di bawah undang-undang Itali, namun Meloni tidak memperincikan bentuk perubahan yang bakal dilaksanakan.
Menurut Institut Statistik Kebangsaan Itali (ISTAT), pelajar asing mewakili hampir 12 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan di sekolah-sekolah negara itu.
Sejak 2010, jumlah pelajar asing dihadkan kepada 30 peratus daripada kapasiti sesebuah kelas dan jumlah keseluruhan enrolmen sekolah.
Had tersebut boleh ditingkatkan bagi pelajar asing yang memiliki penguasaan bahasa Itali yang baik, termasuk mereka yang dilahirkan di negara itu atau diturunkan sekiranya pelajar berkenaan kurang menguasai bahasa tersebut. - Agensi