Skip to main content

Dunia

WHO: 1,771 maut, hampir 8,000 cedera akibat konflik di Yaman sejak Ogos

Yaman dilanda peperangan sejak kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada September 2014, yang mendorong pakatan tentera Arab diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. - Foto REUTERS/Khaled Abdullah
Yaman dilanda peperangan sejak kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada September 2014, yang mendorong pakatan tentera Arab diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. - Foto REUTERS/Khaled Abdullah
Advertisement

ISTANBUL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memaklumkan bahawa 1,771 orang terbunuh manakala 7,959 lagi cedera di Yaman sejak Ogos susulan peningkatan pertempuran, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut laporan WHO, seramai 94 orang terbunuh dan 564 lagi cedera antara 26 hingga 30 Okt.

Angka itu menunjukkan purata 132 mangsa terbunuh dan cedera sehari, meningkat berbanding purata 93 orang sehari dalam tempoh pelaporan sebelumnya, sekali gus mencerminkan peningkatan kadar korban dan kecederaan, menurut agensi itu.

Advertisement

WHO bagaimanapun tidak menyatakan sama ada angka berkenaan membabitkan orang awam, anggota tentera atau kedua-duanya.

Menurut laporan situasi terkini WHO, wilayah Lahj mencatatkan jumlah mangsa terbunuh dan cedera tertinggi dalam tempoh lima hari itu, iaitu 309 orang atau 47 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Advertisement

Marib pula merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 36 orang terbunuh daripada keseluruhan 172 mangsa terbunuh dan cedera.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Marib mencatatkan 117 mangsa terbunuh dan cedera pada 30 Okt sahaja, termasuk 20 kematian, dalam beberapa insiden di Al-Jubah, Harib dan kawasan pertempuran Al-Jawf.

Laporan WHO turut mengetengahkan krisis perpindahan penduduk yang semakin meruncing, dengan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal setakat 1 Nov, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

Lebih 43,000 orang melarikan diri dari daerah Al-Madaribah wa Al-Arah di Lahj sejak awal Oktober, manakala Aden kini menempatkan lebih 56,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa harga barangan keperluan asas di bandar Taiz meningkat antara tiga hingga lima kali ganda.

Sejak Julai, pertempuran antara tentera kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi kembali memuncak, khususnya di wilayah Taiz dan Lahj di barat daya negara itu, menyebabkan ribuan orang terbunuh dan cedera, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertempuran yang tercetus semula itu menamatkan keadaan yang agak tenang di Yaman sejak April 2022, manakala krisis kemanusiaan dan penderitaan penduduk terus bertambah buruk akibat pertempuran serta perpindahan penduduk.

Yaman dilanda peperangan sejak kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada September 2014, yang mendorong pakatan tentera Arab diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement