KUALA LUMPUR: Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dijangka membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan 16 calon, hanya membazirkan wang ahli-ahli parti itu.
Wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid berkata, penolakan rakyat terhadap Bersamaa sudah mula dirasakan menerusi jumlah penonton yang datang untuk mendengar ceramah-ceramah kesemua calon parti tersebut hanya sekitar puluhan orang sahaja.
"Ya, saya rasa ia adalah cerminan awal yang boleh disaksikan sama ada parti tersebut mendapat sambutan daripada pengundi atau sebaliknya.
"Penonton hanya datang sekejap sahaja malah ada juga penonton yang bosan menunggu pimpinan utama berucap mengambil keputusan untuk meninggalkan ceramah lebih awal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersama sebelum ini dilaporkan membelanjakan RM796,197 pada PRN Johor yang mana jumlah calon yang bertanding lebih kurang sama banyak dengan calon di Melaka dengan kesemuanya hilang deposit.
Sebuah portal berita turut melaporkan, ceramah trak Kancil Bersama di Dataran Keris, Alor Gajah berlangsung dalam suasana hambar apabila kurang 50 peserta hadir mengikuti program kempen yang bermula pukul 8 malam itu.
Lebih mencuri perhatian, Rafizi hanya tiba kira-kira pukul 11.10 malam, iaitu lebih tiga jam selepas ceramah berkenaan dijadualkan bermula.
Mengulas lanjut, Khairul Azam berkata, pihaknya juga mendapati jumlah yang jauh lebih besar bagi ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sekali gus menggambarkan tahap sokongan yang berpotensi untuk dianggap sebagai undian.
"Manakala parti Kancil ini semakin dibebani dengan masalah-masalah asas antaranya Rafizi sebagai menteri yang gagal, kes khalwat melibatkan Nik Nazmi Nik Ahmad serta penampilan calon-calon baru yang tiada pengalaman dan jaringan dalam politik," jelasnya.