INTERNATIONAL
AS jadi pengantara rundingan gencatan senjata Rusia-Ukraine di Arab Saudi

Rusia dan Ukraine secara prinsip bersetuju dengan "gencatan senjata separa", namun pelaksanaannya masih belum dipastikan. - Gambar fail/ Reuters
BEIRUT: Amerika Syarikat akan mengadakan rundingan berasingan dengan delegasi Rusia dan Ukraine di Arab Saudi pada Isnin dalam usahanya menjadi perantara gencatan senjata selepas lebih tiga tahun konflik berlarutan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Utusan Khas AS ke Ukraine, Keith Kellogg menyifatkan rundingan tidak langsung itu sebagai "diplomasi ulang-alik," dengan delegasi AS bertemu kedua-dua pihak yang ditempatkan di bilik berasingan.
"Anda pada dasarnya akan bertanya, 'Apakah syarat anda?' Kemudian pergi ke pihak satu lagi dan bertanya perkara yang sama," kata Kellogg dalam satu temu bual dengan pengulas konservatif Glenn Beck hujung minggu lalu.
Menjelang pertemuan tiga hala itu, wakil Ukraine bertemu dengan delegasi AS untuk pusingan awal rundingan di Riyadh pada Ahad.Antara tumpuan utama rundingan ialah menghentikan serangan terhadap kemudahan tenaga.Rusia dan Ukraine secara prinsip bersetuju dengan "gencatan senjata separa" ini, namun pelaksanaannya masih belum dipastikan.
AS juga berusaha memperluaskan gencatan senjata ke laluan perkapalan di Laut Hitam.
Utusan khas AS, Steve Witkoff dalam satu wawancara bersama Fox News pada Ahad berkata, "Saya rasa anda akan melihat kemajuan sebenar di Arab Saudi pada Isnin, terutama berkaitan gencatan senjata di Laut Hitam ... daripada situ, ia berpotensi berkembang kepada gencatan senjata menyeluruh."
Presiden AS Donald Trump yang baru-baru ini berbincang dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden Rusia Vladimir Putin, menyuarakan keyakinannya bahawa perang itu dapat ditamatkan dengan segera.
Zelensky menyokong rancangan Trump untuk gencatan senjata menyeluruh selama 30 hari, namun Putin menetapkan beberapa syarat awal, termasuk tuntutan agar Barat menghentikan semua bantuan ketenteraan kepada Kyiv.
Delegasi AS di Arab Saudi terdiri daripada beberapa pasukan, termasuk Kellogg dan Penasihat Keselamatan Negara AS, Mike Waltz.
Ketua perunding Ukraine, Andrii Yermak turut hadir dalam rundingan itu, manakala Rusia akan diwakili oleh diplomat berpengalaman Grigory Karasin dan Sergey Beseda, seorang pegawai kanan perisikan serta sekutu rapat Putin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami