SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun berdepan detik cemas selepas jarinya terputus ketika mengunjungi sebuah zoo di Portugal.

Kejadian pada Jumaat itu dipercayai berlaku selepas kanak-kanak berkenaan memasukkan jarinya ke dalam kandang monyet, lapor portal berita The Sun.

Monyet tersebut diperayai telah mengigit jari kanak-kanak tersebut sehingga putus selepas memberi makanan kepada haiwan terbabit.

Seorang pegawai polis kemudian memasuki kandang monyet berkenaan bagi mendapatikan jari itu sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

Sekumpulan pakar pembedahan plastik bersama pakar kanak-kanak dikatakan cuba menyambungkan semula jari berkenaan, kata polis.

Pihak Hospital Sao Jaoa enggan memberitahu jika mereka berjaya berbuat demikian atau sebaliknya dan hanya memaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

Zoo Santo Inacio dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku selepas kanak-kanak tersebut memberi makanan kepada monyet berkenaan.

Jelasnya pemberian makanan kepada haiwan adalah dilarang sama sekali bagi melindungi para pengunjung.

"Zoo ini dibina dengan mengutamakan keselamatan pengunjung.

"Namun langkah yang diambil pihak zoo bagi melindungi para pengunjung akan sia-sia sahaja jika para pengunjung tidak mengendahkan langkah-langkah keselamatan yang telah digariskan.

"Ini termasuk tidak memberi makanan kepada haiwan," tambah kenyataan itu.

Siasatan terperinci dijalankan berkenaan insiden terbabit.

Terdapat lebih 600 haiwan di Zoo Santo Inacio termasuk Harimau Amur dan Singa Asia dan ia hanya dibuka semula pada Selasa lepas selepas ditutup selama tiga bulan.

Sebelum penularan virus COVID-19, zoo berkenaan menerima lebih 1.5 pengunjung setiap tahun.