Skip to main content

Dunia

Jawatankuasa Parlimen Iran lulus peruntukan kenakan bayaran kapal guna Selat Hormuz

Vessels near the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, August 17, 2026. REUTERS/Stringer
Selat Hormuz menjadi antara isu utama dalam usaha menamatkan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang bermula pada Februari. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran pada Ahad meluluskan satu peruntukan dalam rang undang-undang yang membolehkan Tehran mengenakan bayaran ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.

Anadolu Ajansi memetik agensi berita rasmi IRNA sebagai melaporkan, jawatankuasa itu meneruskan penelitian terhadap cadangan “Pelan Tindakan Strategik bagi Menjamin Keselamatan dan Pembangunan Selat Hormuz.”

Jurucakap jawatankuasa Hassan Qashqavi berkata, anggota jawatankuasa meluluskan Perkara 3 rang undang-undang itu selepas perbahasannya ditangguhkan pada mesyuarat terdahulu.

Beliau berkata, peruntukan itu membolehkan bayaran dikenakan bagi perkhidmatan pelayaran dan alam sekitar, bekalan bahan api dalam kes tertentu, insurans, keselamatan serta perkhidmatan lain yang disediakan di selat berkenaan.

Qashqavi berkata, bayaran itu akan dipungut daripada kapal milik negara yang dibenarkan melalui selat berkenaan dan dibayar dalam rial Iran atau mata wang lain yang ditetapkan Tehran.

Beliau berkata, draf perundangan itu mengambil kira hak negara yang bersempadan dengan Selat Hormuz.

Menurut beliau, teks itu mengiktiraf kebebasan pelayaran maritim berdasarkan undang-undang dan peraturan antarabangsa, sambil menekankan penghormatan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara pesisir serta perlindungan hak mereka.

Selat Hormuz menjadi antara isu utama dalam usaha menamatkan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang bermula pada Februari.

Sebelum perang, kapal bebas melalui selat itu yang merupakan laluan eksport penting bagi minyak dan gas dari rantau Teluk, namun Iran kini bertegas mahu mengekalkan kawalan serta mengenakan bayaran, langkah yang ditolak Amerika Syarikat.

Bagi membolehkan cadangan itu menjadi undang-undang di Iran, peruntukannya perlu terlebih dahulu dibahaskan dan diluluskan oleh jawatankuasa Parlimen berkaitan.

Laporan jawatankuasa itu kemudian dikemukakan kepada sidang penuh Parlimen untuk undian terhadap setiap peruntukan dan rang undang-undang secara keseluruhan.

Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan dirujuk kepada Guardian Council bagi menentukan sama ada ia mematuhi Perlembagaan dan prinsip Islam.

Sebarang bantahan akan menyebabkan rang undang-undang itu dikembalikan kepada Parlimen, manakala Majlis Penentuan Kepentingan Negara boleh campur tangan sekiranya pertikaian masih tidak dapat diselesaikan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement