Ringkasan AI
- Romel Morales menjaringkan gol kemenangan masa kecederaan untuk membantu Terengganu FC menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi Liga Super.
- Morales dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua, hanya beberapa minit selepas menjaringkan gol kemenangan tersebut.
- Selangor FC menewaskan Sabah FC 4-2 di Stadium Likas, dengan jaringan penentu oleh Quentin Cheng dan Izwan Yuslan pada separuh masa kedua.
KUALA LUMPUR: Penyerang Terengganu FC Romel Morales muncul wira skuad Penyu apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membantu pasukannya menundukkan Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi Liga Super semalam.
Pada pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran terhadap penyerangnya Luqman Hakim Shamsuddin di dalam kotak penalti.
Pemain tengah Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal tenang menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-51 untuk meletakkan skuad Jang di hadapan.
Bagaimanapun, kelebihan tuan rumah lebur apabila pemain gantian Jordan Mintah menyudahkan hantaran Morales pada minit ke-85 untuk menyamakan kedudukan.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Morales memastikan Terengganu membawa pulang tiga mata penuh menerusi jaringannya pada masa kecederaan.
Namun, kegembiraan penyerang itu tidak bertahan lama apabila beliau dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua susulan kekasaran terhadap pemain Negeri Sembilan, hanya beberapa minit selepas menjaringkan gol.
Sementara itu, Selangor FC mematahkan kebangkitan Sabah FC untuk mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Skuad Gergasi Merah membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan kaki kiri José Vitor Rodrigues hasil umpanan Hugo Boumous untuk mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Boumous menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-52 menerusi gerakan solo menarik apabila memperdaya barisan pertahanan Sabah di dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol Juan Flere.
Sabah merapatkan jurang jaringan pada minit ke-61 menerusi Gonzalo Di Renzo yang menyudahkan hantaran lolos Fadzrul Daniel sebelum Fayadh Zulkifli menyamakan kedudukan pada minit ke-70 hasil hantaran lintang rendah Darren Lok.
Bagaimanapun, Selangor hanya memerlukan seminit untuk kembali mendahului apabila Quentin Cheng memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan Sabah dengan menyudahkan hantaran Key Tejan.
Izwan Yuslan kemudian mengesahkan kemenangan Selangor pada minit ke-89 apabila pantas menyambar bola yang gagal ditepis kemas oleh Flere.
-- BERNAMA