INTERNATIONAL
Jejak Al-Haramain: 5,256 jemaah tiba di Tanah Suci

Mohd. Hisham berkata, daripada jumlah itu seramai 830 jemaah haji telah tiba secara berperingkat di Mekah pada Sabtu. - Foto Astro AWANI/Azizul Azwa
MEKAH: Seramai 5,256 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah melalui 19 penerbangan setakat Ahad.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun, daripada jumlah itu seramai 830 jemaah haji telah tiba secara berperingkat di Mekah pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi haji tahun ini yang bermula pada 29 April lalu, beroperasi lancar sama ada di Malaysia atau di Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M.
“Sebanyak 19 penerbangan telah pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz di Madinah daripada jumlah keseluruhan 100 penerbangan tahun ini.“Setakat hari ini, seramai 5,256 jemaah telah pun berada di Tanah Suci, di mana 4,419 berada di Madinah dan 837 jemaah haji telah pun berada di Mekah bermula 4 Mei,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Mekah, Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini, pada Isnin.

Salah seorang jemaah yang selamat tiba di Madinah untuk menunaikan haji. - Foto Astro AWANI/Azizul Azwa
Pecahan jemaah yang tiba di Mekah mengikut kumpulan adalah seramai 253 jemaah daripada kumpulan KT001, 328 orang daripada KT002 dan KT003 seramai 256.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 47 penerbangan bakal mendarat di Madinah, manakala 53 penerbangan akan mendarat di Jeddah sebelum terus masuk ke Mekah.
“Alhamdulillah, jemaah haji yang telah sampai ke Mekah telah selesai menunaikan ibadah umrah masing-masing.
“InsyaAllah kerana waktu wukuf adalah lebih kurang 30 hari lagi, TH telah merangka pelbagai aktiviti termasuk bimbingan untuk mereka mengisi masa mereka di sini,” katanya.
]
Mengulas mengenai jemaah-jemaah yang berkerusi roda atau mempunyai kelainan upaya pula, ujarnya, petugas TH akan memanggil teksi untuk membawa mereka dari maktab ke Masjidil Haram bagi ibadah tawaf dan saie.
Selain itu, Mohd Hisham berkata, setakat ini, seorang jemaah perempuan yang dimasukkan di pusat rawatan TH di Roha Al Madinah di Madinah.
“Keadaan jemaah ini stabil, cuma menunggu masa yang sesuai untuk datang ke Mekah serta berniat umrah. Selain daripada tu semuanya keadaan sihat.
“Jadi, untuk keluarga jemaah di tanah air jangan bimbang, kita mempunyai pasukan rombongan perubatan yang mencukupi untuk menjaga dan memberi nasihat berkaitan dengan kesihatan,” ujarnya.
Beliau menasihatkan jemaah haji sekiranya berlaku apa-apa masalah kesihatan agar segera pergi ke klinik kesihatan yang disediakan di maktab.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami