KERAJAAN Jepun merancang untuk melanjutkan pelaksanaan darurat di seluruh negara selepas tempoh ketika ini berakhir pada 6 Mei.

Menurut cadangan yang akan dibincangkan dalam satu mesyuarat pakar pada Jumaat ini, orang ramai boleh digesa untuk tinggal di rumah selama lebih kurang satu bulan lagi.

"Masih belum dapat dipastikan sama ada kita boleh isytiharkan semua sudah berakhir pada 6 Mei nanti," kata Perdana Menteri Shinzo Abe pada Rabu.

Pada 7 April, Jepun mengisytiharkan darurat, dalam usaha mengekang penularan COVID-19, di tujuh daripada 47 wilayah di negara itu, termasuk Tokyo, Osaka, Kanagawa, Saitama, Chiba, Hyogo dan Fukuoka.

Perintah itu kemudiannya dilebarkan ke seluruh Jepun pada 16 April.

Sementara itu, Gabenor Tokyo Yuriko Koike memaklumkan, bandar itu masih berdepan situasi serius susulan penularan pandemik COVID-19.




Setakat ini, laporan harian jangkitan COVID-19 di Tokyo mencecah 100 kes positif setiap hari.

Pada masa sama, Jepun merekodkan hampir 400 kematian dengan 100 daripadanya merupakan kes di Tokyo.

Yuriko menggesa lanjutan tempoh darurat yang menghendaki orang ramai duduk di rumah dan melakukan penjarakan sosial bagi mengekang penularan virus tersebut.

Bagaimanapun, beberapa sektor ekonomi dan restoran masih beroperasi.

BACA: COVID-19: Jepun isytihar darurat seluruh negara

BACA: Jepun umum sekatan kemasukan 14 lagi negara



Selain itu, usaha mengekang penularan wabak itu masih dijalankan dengan reruai mudah alih ujian saringan COVID-19 dilancarkan di Timur Jepun pada Rabu.

Reruai yang didirikan di Yokosuka itu mampu menampung saringan sehingga 36 ujian sehari.

Dua reruai yang menyerupai pondok telefon itu diletakkan di parkir kereta bagi membolehkan ujian tersebut dilakukan tanpa kontak dengan petugas perubatan.

Reruai yang didirikan di Yokosuka itu mampu menampung saringan sehingga 36 ujian sehari. Foto: AP Newsroom

Bagaimanapun, hanya sebuah reruai boleh digunakan dalam satu-satu masa, sementara sebuah lagi perlu menjalani proses sanitasi.

Setakat Rabu, Jepun merekodkan 13,736 kes positif COVID-19 dengan 394 kematian.