DUNIA
Jepun catat suhu tertinggi pernah direkodkan 41.8 darjah Celsius di Wilayah Gunma

Rekod baharu itu mengatasi suhu tertinggi sebelumnya iaitu 41.2 darjah Celsius yang dicatatkan hanya beberapa hari lalu di Tamba, Wilayah Hyogo, dan pada awal Selasa di Kiryu, yang turut terletak di Gunma. - Foto REUTERS
TOKYO: Jepun mencatat suhu tertinggi pernah direkodkan iaitu 41.8 darjah Celsius di bandar Isesaki, Wilayah Gunma pada Selasa ketika gelombang haba terus melanda sebahagian besar negara itu, lapor agensi berita Kyodo yang memetik Agensi Meteorologi Jepun.
Rekod baharu itu mengatasi suhu tertinggi sebelumnya iaitu 41.2 darjah Celsius yang dicatatkan hanya beberapa hari lalu di Tamba, Wilayah Hyogo, dan pada awal Selasa di Kiryu, yang turut terletak di Gunma.
Agensi berkenaan pada awalnya melaporkan bacaan 41.6 darjah Celsius di Isesaki sebelum mengemas kininya kepada 41.8 darjah Celsius.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penyakit berkaitan haba, termasuk minum air secukupnya dan menggunakan penyaman udara dengan sewajarnya.Keadaan panas melampau itu dikaitkan dengan aliran udara panas menuju ke sistem tekanan rendah berhampiran Hokkaido serta kesan angin Foehn di rantau Kanto, yang merangkumi Tokyo dan wilayah sekitarnya.
Suhu melebihi 40 darjah Celsius direkodkan di kira-kira 10 lokasi di Kanto - jumlah tertinggi pernah dicatatkan, manakala amaran strok haba dikeluarkan di 44 daripada 47 wilayah di Jepun, jumlah tertinggi sejak sistem amaran itu diperkenalkan pada 2021.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami