Skip to main content

Dunia

Jepun, India setuju tingkat kerjasama dalam bidang cip, mineral kritikal, AI

Indian Prime Minister Narendra Modi greets Japanese Prime Minister Sanae Takaichi during the India-Japan Joint Economic Forum in New Delhi, India, July 2, 2026. REUTERS/Bhawika Chhabra
Narendra Modi (kiri) berjabat tangan dengan Sanae Takaichi (kanan) ketika menghadiri forum perniagaan India-Jepun di New Delhi, India, 2 Julai 2026. REUTERS
Advertisement

NEW DELHI: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, bersetuju pada Khamis untuk meningkatkan hubungan dalam bidang semikonduktor, mineral kritikal dan kecerdasan buatan (AI) ketika Tokyo berdepan cabaran keselamatan ekonomi yang dicetuskan oleh China, lapor Kyodo News.

Kedua-dua negara turut menegaskan komitmen untuk memperdalam perkongsian strategik dalam keselamatan maritim dan memuktamadkan kira-kira 120 memorandum kerjasama melibatkan pelaburan sektor swasta berjumlah 2 trilion yen (US$12.4 bilion), kata Takaichi selepas mengadakan rundingan dengan Modi di New Delhi.

Dalam "deklarasi bersama mengenai kerjasama keselamatan ekonomi" mereka, Jepun dan India menyatakan "kebimbangan amat mendalam terhadap penggunaan paksaan ekonomi serta dasar dan amalan bukan pasaran, termasuk sekatan eksport secara sewenang-wenangnya," susulan langkah kawalan eksport oleh China yang menyasarkan Jepun.

Dokumen hasil rundingan itu menyatakan kedua-dua negara mengalu-alukan "penyertaan lebih besar syarikat Jepun" dalam inisiatif India bagi industri semikonduktor, selain akan mempromosikan kolaborasi teknikal serta pertukaran maklumat berhubung penerokaan mineral kritikal.

Mereka turut menekankan kepentingan membina "rantaian bekalan yang berdaya tahan dan boleh dipercayai dalam kalangan rakan kongsi yang sehaluan" menerusi deklarasi itu, yang juga merangkumi sektor utama lain termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga bersih serta farmaseutikal.

Takaichi dan Modi juga mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kerjasama AI, dengan berikrar untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing dalam bidang berkenaan di samping membawakan inovasi serta pertumbuhan bagi kedua-dua belah pihak.

"Menggabungkan kekuatan Jepun dalam teknologi jitu dengan keupayaan India dalam menghasilkan perisian" akan membantu memperkukuh pembangunan AI global, kata Modi pada sidang media bersama Takaichi selepas pertemuan itu.

Takaichi pula berkata usaha membina hubungan yang "saling melengkapi" kini menjadi lebih penting daripada sebelum ini, berlatarbelakangkan "situasi antarabangsa yang semakin kompleks dan tidak menentu."

Rancangan pelaburan bernilai 2 trilion yen itu sebahagian daripada ikrar Tokyo untuk menyalurkan 10 trilion yen ke India di bawah "visi bersama bagi dekad akan datang" dua hala yang dikeluarkan pada Ogos lepas, ketika Modi melawat Jepun untuk menghadiri sidang kemuncak bersama pendahulu Takaichi, Shigeru Ishiba.

Lewat hari ini, Takaichi dan Modi menghadiri forum perniagaan yang melibatkan lebih 150 syarikat Jepun.

Ini merupakan lawatan pertama Takaichi ke India sejak memegang jawatan pada Oktober lepas sebagai sebahagian daripada amalan lawatan timbal balik peringkat pemimpin antara kedua-dua negara. Beliau dijadual mengakhiri lawatan tiga harinya pada Jumaat.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement