JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyambut baik dan memberi keizinan terhadap tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan berlaku jerebu rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu turut melibatkan perancangan jangka panjang bagi memastikan masalah jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah tidak berulang.
Jelas beliau, persetujuan dicapai hasil perbincangan dengan Presiden Prabowo di Istana Hambalang sempena lawatan kerjanya ke Jakarta.
โInisiatif ini termasuk mengenai langkah proaktif yang perlu dilaksana bagi menangani kebakaran terutama di Kalimantan, termasuk juga di Sumatera dan beberapa wilayah lain di Indonesia," katanya dalam sidang media penutup sempena lawatan beliau ke Indonesia selama empat hari, di sini, pada Sabtu.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata Prabowo memaklumkan masih terdapat sekitar 1,426 titik panas di Kalimantan, manakala tindakan perundangan telah diambil pemerintah Indonesia terhadap 95 syarikat yang terlibat dalam kebakaran terbuka di kepulauan Borneo itu.
Ditanya sama ada terdapat syarikat Malaysia dalam kalangan 95 syarikat itu, Ahmad Zahid berkata tiada maklumat mengenainya diberikan setakat ini dan pihak Indonesia sedang meneliti jika terdapat penglibatan dari Malaysia.
โSyarikat-syarikat itu didaftarkan atas nama syarikat yang didaftarkan di Indonesia, mungkin dari segi pemegang saham terdapat beberapa jumlah yang kecil syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh pemegang saham daripada Malaysia,โ katanya.
Jelasnya, Malaysia menyambut baik langkah diambil kerajaan Indonesia termasuk usaha pemadaman yang sedang dijalankan dengan bantuan beberapa negara sahabat.
Bantuan yang ditawarkan Malaysia merangkumi sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah diminta menyelaraskan bantuan itu dengan NADMA, APMM, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), TUDM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan.
โOleh kerana keizinan telah diperoleh daripada Presiden Prabowo, tentu koordinasi di peringkat kementerian, jabatan dan agensi harus dilakukan.
"Saya mengharapkan agar Kementerian Luar dalam melakukan koordinasi ini dapat memastikan semua pihak yang akan terlibat dalam operasi ini melakukan usaha yang terselaras,โ katanya.
Beliau berkata Malaysia menyambut baik langkah yang telah diambil Indonesia dan sebagai negara jiran terdekat akan terus memberikan kerjasama dalam usaha menangani kebakaran serta jerebu rentas sempadan, khususnya kesannya terhadap Sarawak.
Jelasnya, Malaysia sebagai negara jiran terdekat akan terus memberikan kerjasama dalam menangani masalah itu memandangkan jerebu rentas sempadan turut memberi kesan, khususnya kepada Sarawak.