Jerman gesa AS hormat kedaulatan wilayah Greenland

Jerman menggesa Amerika Syarikat pada Ahad supaya menghormati kedaulatan wilayah Greenland susulan ancaman berulang kali untuk mengambil alih pulau itu. - Gambar fail Reuters
BERLIN: Jerman menggesa Amerika Syarikat (AS) pada Ahad supaya menghormati kedaulatan wilayah Greenland susulan ancaman berulang kali untuk mengambil alih pulau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Hanya Denmark dan Greenland yang berhak membuat keputusan mengenai masa depan Greenland," kata Naib Canselor Lars Klingbeil seperti yang dipetik oleh penyiar awam ARD sebelum berlepas dari Berlin ke Washington, merujuk kepada status pulau itu sebagai wilayah separa autonomi Denmark.
Beliau berkata, prinsip undang-undang antarabangsa, seperti menghormati kedaulatan dan integriti wilayah, terpakai kepada semua pihak, termasuk AS.
"Kami meningkatkan keselamatan di Artik bersama-sama sebagai sekutu NATO, bukannya bertindak secara bertentangan antara satu sama lain," kata Klingbeil, yang juga memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan Jerman.
AS telah menjemput Menteri-Menteri Kewangan dari beberapa negara ke Washington bagi membincangkan akses kepada bahan mentah kritikal.
Klingbeil sebelum ini telah mengumumkan bahawa cita-cita AS di Greenland juga akan dibincangkan di luar rundingan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


