ANKARA: Ketua Bundesbank memberi amaran kemungkinan Jerman bakal mengalami kemelesetan andai krisis tenaga meningkat dan menggesa Bank Pusat Eropah (ECB) meneruskan kenaikan kadar faedah, lapor Agensi Anadolu.

"Jika krisis tenaga bertambah buruk, kemelesetan mungkin berlaku pada musim sejuk akan datang.

"Ekonomi Jerman masih menunjukkan prestasi agak baik dalam keadaan sukar pada separuh pertama tahun ini.

"Bagaimanapun, jika masalah penghantaran berterusan contohnya, disebabkan paras air rendah yang berpanjangan, prospek ekonomi untuk separuh kedua akan semakin merosot," kata Joachim Nagel dalam satu temu bual dengan akhbar harian Jerman Rheinische Post.

Beliau berkata kadar inflasi Jerman "mungkin" mencecah 10 peratus pada musim luruh dan kali terakhir kadar inflasi dua angka diukur di negara itu lebih 70 tahun lalu.

Mengenai jangkaan terhadap keputusan kadar faedah ECB seterusnya pada 8 Sept, beliau berkata memandangkan inflasi yang tinggi maka perlu diikuti dengan kenaikan kadar faedah.

Beliau berkata keputusan mengenai dasar monetari itu dicapai menerusi pelbagai peringkat mesyuarat yang diadakan sejak beberapa bulan lalu.

Bank pusat memutuskan untuk menaikkan kadar faedah utama sebanyak 50 mata asas pada Julai untuk memastikan inflasi kembali kepada sasaran dua peratus dalam jangka sederhana.

"Adalah penting untuk memastikan jangkaan inflasi jangka sederhana stabil pada dua peratus. Saya yakin Majlis Tadbir Urus ECB akan mengambil langkah-langkah dasar monetari yang diperlukan," katanya.

-- BERNAMA