DUNIA
Jerman sumbang AS$500 juta beli senjata buatan AS untuk Ukraine

Canselor Jerman Friedrich Merz (kanan) dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy sewaktu dalam rundingan bersama pemimpian Eropah dan AS di Berlin pada 13 Ogos 2025. - AP
BERLIN: Jerman mengumumkan akan menyumbang sehingga AS$500 juta bagi pembelian peralatan ketenteraan buatan Amerika Syarikat yang akan dibekalkan kepada Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kementerian Pertahanan dan Pejabat Luar Jerman dalam pengumuman pada Rabu berkata bantuan itu akan diselaraskan melalui mekanisme NATO yang dikenali sebagai Senarai Pemerolehan Keutamaan Ukraine.
NATO bertanggungjawab menyelia penghantaran senjata yang dibeli dari AS untuk Ukraine. Pembiayaan inisiatif ini datang daripada negara rakan Eropah dan Kanada.
Menurut NATO, bantuan itu akan merangkumi peralatan ketenteraan yang tidak dapat dihasilkan oleh pengeluar Eropah atau yang boleh dihantar lebih cepat oleh AS berbanding sekutu Eropah atau Kanada."Saya memuji Jerman kerana sekali lagi tampil membantu. Bantuan ini akan membantu Ukraine mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia," kata Setiausaha Agung NATO Mark Rutte dalam satu kenyataan.
"Jerman adalah penyumbang terbesar bantuan ketenteraan Eropah kepada Ukraine dan pengumuman hari ini sekali lagi menekankan komitmennya untuk membantu rakyat Ukraine mempertahankan kebebasan dan kedaulatan mereka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami