Ringkasan AI
- Beberapa anggota Kabinet mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68.
- Menteri Komunikasi, Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Dalam Negeri menyampaikan ucapan tahniah mewakili kementerian masing-masing melalui hantaran di media sosial.
- Ucapan turut disertai doa agar Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta dipanjangkan usia.
KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Kabinet hari ini merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda yang ke-68.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook merafak sembah tahniah bagi pihaknya serta seluruh warga Kementerian Komunikasi dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.
“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim,” menurut hantaran itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut merafak sembah ucapan tahniah bagi pihaknya serta seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda bersama-sama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan dipanjangkan usia.
“Semoga KDYMM Seri Paduka Baginda terus bersemayam di takhta dengan penuh kedaulatan serta menaungi seluruh rakyat Malaysia sebagai Ketua Utama Negara,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Seri Paduka Baginda dikurniakan keafiatan serta sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayang-Nya.
“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya dalam hantaran Facebook.
-- BERNAMA