Ringkasan AI
- Papa Zola The Movie menerima Anugerah Khas Filem Box Office pada Festival Filem Malaysia ke-35 di Istana Budaya.
- Filem terbitan MONSTA dan Astro Shaw itu mencatat kutipan hampir RM70 juta, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi di Malaysia.
- MONSTA mengucapkan terima kasih kepada 4.5 juta penonton atas sokongan dan berharap sokongan berterusan untuk filem akan datang.
KUALA LUMPUR: Papa Zola The Movie, terbitan MONSTA dan Astro Shaw, terus mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Filem Box Office pada Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, semalam.
MONSTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu, susulan kejayaan Papa Zola The Movie mencatat kutipan box office hampir RM70 juta, sekali gus menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan box office tertinggi di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak berkata anugerah yang diterima, satu penghargaan bermakna buat seluruh pasukan yang terlibat dalam penghasilan filem berkenaan.
“Kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini, hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan MONSTA serta sokongan penonton yang terus memberikan kepercayaan kepada karya kami.
“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada 4.5 juta penonton yang telah menyokong Papa Zola The Movie, sehingga berjaya meraih Anugerah Khas Filem Box Office ini. Sokongan anda semua amat bermakna buat kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap penonton akan terus memberikan sokongan kepada karya MONSTA khususnya filem seterusnya iaitu BoBoiBoy Movie 3, yang dijangka menemui penonton pada pertengahan 2027.
-- BERNAMA