Kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin yang melancarkan serangan terhadap Israel dari Semenanjung Gaza menegaskan pihaknya akan mematuhi gencatan senjata jika pihak lawan mengambil tindakan sama.

Jihad Islam Palestin merupakan antara kumpulan bersenjata yang bergerak di Gaza dan mengaku melancarkan serangan roket sebagai tindak balas terhadap tentera Israel yang membunuh empat penduduk Palestin berhampiran sempadan.

Israel kemudiannya melancarkan serangan balas dengan menyasarkan beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.

Jurucakap kumpulan itu, Khaled al-Batsh berkata pada Sabtu, rundingan gencatan senjata melalui perantara Mesir telah dicapai.

"Terimakasih kepada rakan di Mesir yang campur tangan dan melakukan usaha yang hebat dalam soal penentangan ke atas Palestin di Gaza oleh Zionis.

"Usaha Mesir ini membawa kepada persefahaman bahawa perlunya keamanan di Semenanjung Gaza. Kami mengalu-alukan usaha Mesir ini dan berharap Israel juga menghentikan semua bentuk keganasan," katanya.

BACA: Tentera rejim Israel serang 80 sasaran Hamas

Terdahulu, jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus, menuduh Syria dan Iran terlibat dalam serangan roket ke atas Israel.