Presiden Joko Widodo atau Jokowi, pagi tadi melawat pendahulunya, Susilo Bambang Yudhoyono yang dimasukkan ke Hospital Tentera Gatot Subroto (RSPAD) di Jakarta kerana masalah kesihatan dihadapinya sejak Selasa lalu.

Jokowi turut ditemani isterinya, Iriana dan timbalan presiden, Jusuf Kalla bersama isteri, Mufidah.

"Keadaan kesihatan Susilo bertambah baik. Beliau keletihan. Mari kita sama-sama doakan supaya beliau cepat sembuh," kata Jokowi kepada wartawan.

Pemimpin parti Demokratik itu dilaporkan jatuh sakit kerana terlampau penat selepas lawatannya di Pacitan, Jawa Timur, dan Yogyakarta.

Keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan juga menyebabkan Susilo terpaksa membatalkan pertemuan dengan Prabowo, semalam untuk berbincang tentang kemungkinan mereka akan menjadi regu dalam Pilihan Raya Presiden 2019. - Jakarta Post