AMMAN: Tentera udara Jordan memintas dan menembak jatuh berpuluh-puluh dron Iran yang melanggar ruang udaranya dan sedang menuju ke Israel.

Perkara itu disahkan dua sumber keselamatan serantau dalam laporan Reuters.

Mereka berkata, tentera juga berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sistem radar memantau sebarang aktiviti dron yang datang dari arah Iraq dan Syria.

Penduduk di beberapa bandar di bahagian utara negara itu berhampiran Syria dan kawasan tengah dan selatan mendengar aktiviti udara yang berat.

Di kawasan kejiranan di selatan ibu negara Amman, 60 kilometer dari Baitulmaqdis, beberapa dron yang ditembak jatuh juga kelihatan.

Penduduk berkumpul di sekitar saki-baki satu dron besar yang disyaki jatuh di kawasan komersial pinggir bandar Marj al Hamam.

Sumber keselamatan sebelum ini berkata, tentera udara negara itu sedang mempergiatkan penerbangan peninjauan.

Jordan sebelum ini berkata ia menutup ruang udara bermula pada malam Sabtu kepada semua pesawat yang masuk, berlepas dan transit sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya serangan Iran merentasi sempadannya.

Jordan berjiran dengan Syria dan Iraq, kedua-dua negara di mana pasukan proksi Iran beroperasi dan juga bersebelahan dengan Israel dan Tebing Barat yang diduduki Israel.