Skip to main content

Dunia

K2 Airways sahkan identiti lima kru pesawat kargo hilang

Sumber: K2 AIRWAYS
Syarikat itu berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa penerbangan Pakistan dan agensi berkaitan dalam usaha mengesan pesawat serta menyiasat punca kejadian. -Gambar fail
Advertisement

KARACHI: Syarikat penerbangan swasta Pakistan, K2 Airways mengeluarkan kenyataan rasmi pertamanya berhubung kehilangan pesawat kargo Boeing 737-400 miliknya yang terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), ke Karachi.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial rasminya, syarikat itu mengesahkan pesawat berdaftar AP-BOI berkenaan membawa lima kru.

K2 Airways turut mendedahkan identiti mereka iaitu Mohammad Rizwan Idrees (juruterbang), Faisal Mehmood (pembantu juruterbang), Muhammad Toufique Khan (pengurus muatan) serta dua jurutera penerbangan, Arif Siddiqui dan Mohammad Hamid.

Syarikat itu berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa penerbangan Pakistan dan agensi berkaitan dalam usaha mengesan pesawat serta menyiasat punca kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh organisasi dan pihak berkuasa berkaitan di kawasan maritim yang terlibat.

"Kami juga memohon semua pihak terus mendoakan keselamatan rakan sekerja kami yang terjejas dalam insiden ini," menurut kenyataan itu.

Menurut Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA), pesawat berkenaan melaporkan masalah sistem navigasi pada 9.18 malam waktu tempatan sebelum dikesan mengalami penurunan altitud secara mendadak dan terputus hubungan kira-kira tiga minit kemudian.

Ketika ini, operasi SAR melibatkan kapal frigat Tentera Laut Pakistan PNS Zulfiqar, aset udara Tentera Udara Pakistan serta kapal komersial di kawasan kira-kira 155 batu nautika (287 kilometer) di barat Karachi.

 

Must Watch Video

Advertisement