Skip to main content

Dunia

Kadar kelahiran, kesuburan Jepun catat rekod terendah pada 2025

51514272514_ShibuyaTokyo.jpg
Jumlah bayi yang dilahirkan dalam kalangan warga Jepun pada 2025 merosot ke paras terendah iaitu 671,236, manakala kadar kesuburan negara itu turut jatuh ke paras terendah baharu, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Rabu. - Gambar hiasan

TOKYO: Jumlah bayi yang dilahirkan dalam kalangan warga Jepun pada 2025 merosot ke paras terendah iaitu 671,236, manakala kadar kesuburan negara itu turut jatuh ke paras terendah baharu, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Rabu.

Kadar kesuburan keseluruhan merujuk kepada purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya.

Menurut Kyodo News, jumlah kelahiran menurun 2.2 peratus atau 14,937 berbanding tahun sebelumnya, manakala kadar kesuburan susut 0.01 mata kepada 1.14. Kedua-dua angka itu mencatat penurunan bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Bagaimanapun, kadar penurunan itu lebih perlahan berbanding trend kebelakangan ini, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

Penyusutan jumlah kelahiran yang lebih perlahan mungkin disebabkan populasi yang stabil dalam kalangan penduduk berusia 25 hingga 35 tahun yang dilahirkan sekitar 1990-an, meskipun langkah segera masih diperlukan bagi menghentikan penurunan kadar kelahiran negara itu.

Jumlah perkahwinan, yang menjadi faktor penting dalam menentukan trend kelahiran pada masa depan, meningkat bagi tahun kedua berturut-turut kepada 489,119. 

Purata umur lelaki yang mendirikan rumah tangga ialah 31.0 tahun, manakala wanita 29.7 tahun, kedua-duanya lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Hanya empat daripada 47 wilayah di negara itu mencatat peningkatan jumlah kelahiran. 

Tokyo, Toyama dan Ishikawa merekodkan pertambahan kelahiran buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun, manakala Kagawa mencatat peningkatan buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.

Mengikut wilayah, kadar kesuburan tertinggi dicatatkan di Okinawa pada 1.52, diikuti Miyazaki (1.46) dan Fukui (1.45). Kadar terendah pula direkodkan di Tokyo pada 0.96, diikuti Hokkaido dan Miyagi yang masing-masing mencatatkan kadar 1.00.

Sementara itu, jumlah kematian menurun buat kali pertama dalam tempoh lima tahun kepada 1,589,489, berkemungkinan disumbangkan oleh faktor seperti penurunan kematian akibat COVID-19.

Jumlah kematian melebihi jumlah kelahiran sebanyak 918,253, sekali gus menandakan penyusutan semula jadi penduduk bagi tahun ke-19 berturut-turut.

Jumlah kelahiran merosot kepada kira-kira 686,000 pada 2024, sekali gus jatuh di bawah paras 700,000 buat kali pertama sejak rekod mula disimpan pada 1899.

Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan pada 2023 mengunjurkan jumlah kelahiran pada 2025 mencecah kira-kira 749,000.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement