Skip to main content

Dunia

Kajian dedah larangan media sosial bawah 16 tahun di Australia belum berkesan

[TB]_Pengesahan umur media sosial_SINAR
eSafety memaklumkan ramai pengguna bawah umur berjaya mengekalkan akaun sedia ada atau membuka akaun baharu. - Gambar hiasan
Advertisement

SYDNEY: Lebih lapan daripada 10 kanak-kanak dan remaja bawah usia 16 tahun di Australia masih menggunakan media sosial walaupun larangan rasmi kerajaan terhadap golongan itu telah berkuat kuasa sejak Disember tahun lalu.

Menurut laporan terbaharu agensi keselamatan dalam talian Australia, eSafety, kebanyakan pengguna berusia antara 10 hingga 15 tahun terus mengakses platform media sosial pada kadar hampir sama seperti sebelum undang-undang itu diperkenalkan.

eSafety memaklumkan ramai pengguna bawah umur berjaya mengekalkan akaun sedia ada atau membuka akaun baharu kerana platform media sosial gagal melaksanakan sistem pengesahan umur yang berkesan.

Kira-kira separuh daripada responden yang masih memiliki akaun berkata umur mereka tidak diperiksa, manakala sebahagian lagi mengakui mendaftarkan umur 16 tahun ke atas atau berjaya melepasi sistem semakan umur.

Sebelum larangan dilaksanakan, hampir 86 peratus kanak-kanak yang ditinjau menggunakan sekurang-kurangnya satu platform media sosial yang mempunyai had umur.

Tiga bulan selepas penguatkuasaan, angka itu masih melebihi 81 peratus.

Kerajaan Australia memperkenalkan larangan penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun pada Disember 2025 bagi menangani kebimbangan terhadap buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan yang boleh memudaratkan kesihatan mental golongan muda.

Di bawah undang-undang itu, platform media sosial utama boleh dikenakan denda sehingga AS$33 juta jika gagal mengambil langkah munasabah untuk menghalang pengguna bawah umur daripada mengakses perkhidmatan mereka.

Walaupun laporan itu menunjukkan tahap pematuhan masih rendah, Timbalan Menteri Australia, Andrew Leigh, mempertahankan dasar berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.

“Kami tidak pernah menjangkakan pematuhan 100 peratus. Sama seperti undang-undang had umur pengambilan alkohol, ia tetap wajar dilaksanakan walaupun ada yang melanggarnya,” katanya.

Australia menjadi negara pertama di dunia melaksanakan larangan sedemikian, dan langkah itu kini sedang dipertimbangkan oleh beberapa negara lain termasuk United Kingdom, Denmark, Malaysia dan Greece.

 

Must Watch Video

Advertisement