Penduduk Colombia melahirkan rasa seram dan mual dengan kejadian 33 kanak-kanak maut ekoran bas melebihi muatan yang dinaiki terbakar dan pemandunya yang cuba melarikan diri di utara Colombia, kelmarin.

Pemandu terbabit bagaimanapun menyerah diri kepada polis apabila diburu oleh beberapa keluarga mangsa selepas kejadian terbabit dikatakan berlaku ketika dia mengisi bas tersebut menggunakan jerrycan.

Datuk Bandar Fundacion, Luz Stella Duran berkata, 20 mangsa lagi kini berada di hospital kerana mengalami lecur kebakaran tahap dua dan tiga.

Penduduk Bandar tersebut bergegas membantu bomba memadamkan kebakaran namun agak terlewat.

"Kami mahu menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang menghulurkan tangannya melalui tingkap, namun kulitnya sudah tertanggal,” kata saksi Jose Guette, 48, kepada AFP.

"Kami tidak mampu berbuat apa-apa. Kami hanya melihat mereka terbakar di dalam bas,” tambahnya.

Kesemua kanak-kanak malang itu berusia di bawah 14 tahun, maut dalam kejadian tersebut yang berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah gereja.

Laporan awal menyebut, bas berkenaan membawa kira-kira 50 penumpang, melebihi muatan yang ditetapkan namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurut saksi, bas berkenaan meletup pada tengah hari dan api marak dengan cepat menyebabkan usaha menyelamat mangsa sukar.

Seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun yang kehilangan dua saudaranya memberitahu media tempatan bahawa pemandu bas meninggalkan bas untuk mengisi minyak.

"Percikan api berterbangan," ujarnya.

"Ia berlaku ketika pemandu meninggalkan bas untuk mengambil air, dan pergi,” tambahnya.

"Saya memecahkan tingkap dan berjaya mengeluarkan adik perempuan saya namun tidak dapat menyelamatkan dua lagi saudara lelaki kami,” katanya.

Tragedi terbabit menjadi isu politikmenjelang pilihan raya presiden Ahad ini, di mana Santos sedang berusaha untuk memegang jawatan bagi penggal kedua.