Skip to main content

Dunia

AS, Kanada gagal capai perjanjian dagang, Washington kenakan tarif baharu 50 peratus

ADOBE STOCK
Wakil Perdagangan AS menyifatkan kegagalan mencapai persetujuan itu sebagai peluang yang terlepas buat Kanada untuk bekerjasama dengan AS, yang disifatkannya sebagai ekonomi paling pesat berkembang dalam Kumpulan Tujuh (G7). - Foto Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Kanada gagal mencapai perjanjian perdagangan pada lewat Jumaat, sekali gus menyaksikan Washington mengumumkan tarif 50 peratus ke atas sebahagian import dari Kanada dalam perkembangan yang meningkatkan ketegangan antara dua sekutu lama itu.

Wakil Perdagangan AS dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X menyifatkan kegagalan mencapai persetujuan itu sebagai peluang yang terlepas buat Kanada untuk bekerjasama dengan AS, yang disifatkannya sebagai ekonomi paling pesat berkembang dalam Kumpulan Tujuh (G7).

Seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Donald Trump berkata tarif di bawah Seksyen 338 ke atas barangan Kanada bernilai kira-kira US$20 bilion (RM80.7 bilion) akan mula berkuat kuasa sejurus selepas tengah malam Sabtu.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney pula berkata beliau telah menggantung rundingan perdagangan dengan AS dan Kanada akan mengambil tindakan balas dengan mengenakan tarif pada nilai yang setara dengan yang dikenakan Washington.

Keputusan pentadbiran AS itu dibuat selepas tiga hari rundingan di Washington antara Menteri Perdagangan Kanada-Amerika Syarikat, Dominic LeBlanc, dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.

Perkembangan terbaharu itu dilihat menambah ketegangan dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara yang selama ini mempunyai hubungan ekonomi yang erat.

Must Watch Video

Advertisement