KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti kebimbangan berhubung dakwaan pencampuran atau penggabungan (commingling) kargo petroleum sebelum menentukan tindakan susulan, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.
Sumber itu berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, menyedari isu berkenaan dan perbincangan sedang berlangsung sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
Katanya, Abdul Halim turut menerima surat bertarikh 18 Ogos daripada pemerhati industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, yang meminta perkembangan berhubung laporan yang dikemukakan kepada SPRM pada Jun lalu.
“Sebarang kenyataan mesti datang daripada Ketua Pesuruhjaya,” kata sumber itu yang enggan dikenali.
Jeyenderan, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, sebelum ini berkata hampir dua bulan telah berlalu sejak laporan dibuat pada 5 Jun tanpa sebarang maklum balas bertulis rasmi berhubung status laporan itu atau agensi yang bertanggungjawab mengendalikannya.
Dalam surat kepada Abdul Halim, Jeyenderan memberitahu syarikatnya telah mengemukakan dokumen dan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan, menghadiri mesyuarat serta memberikan penjelasan apabila diminta.
Beliau berkata syarikat itu mahukan pendirian yang jelas mengenai pengendalian operasi kargo petroleum terbabit, termasuk aktiviti yang boleh diteruskan, yang perlu digantung serta agensi yang bertanggungjawab membuat keputusan berhubung perkara itu.
Menurut Jeyenderan, isu berkenaan melangkaui pertikaian komersial kerana berpotensi menjejaskan integriti dan kebolehkesanan kargo petroleum, pematuhan peraturan, hasil kerajaan serta akauntabiliti dalam rantaian bekalan.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada keputusan telah dibuat bahawa tiada kes untuk disiasat atau perkara itu telah ditutup, dan asas kepada keputusan berkenaan.
Isu itu timbul ketika Malaysia berdepan penelitian terhadap peranannya sebagai hab pembuatan dan pemindahan kargo serantau.
Pada 14 Ogos lalu, Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan Rumah Putih menamakan Malaysia antara lebih 40 negara yang didakwa berisiko memudahkan pengelakan tarif menerusi rangkaian 'transshipment' yang dikaitkan dengan China.
Laporan bertajuk 'The Great Transshipment Scam: Rise, Scope, and Costs' itu meletakkan Malaysia dalam kategori Tier 2 bersama Brazil, Indonesia, Thailand, Turkiye dan Vietnam.
Laporan berkenaan mendakwa pelabuhan laut dalam, hab pembuatan dan zon perdagangan bebas di Malaysia berpotensi digunakan sebagai laluan untuk mengalihkan barangan dari China bagi mengelakkan tarif Amerika Syarikat (AS).
Ia turut menyorot Koridor Perindustrian Penang-Kulim dan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang sebagai kawasan yang perlu diberi perhatian.
Transshipment merujuk kepada proses memindahkan barangan atau kargo dari satu kenderaan atau mod pengangkutan ke kenderaan yang lain sebelum tiba di destinasi akhir.