Skip to main content

Dunia

Kanada sahkan Jambatan Gordie Howe dibuka walaupun diancam Trump

FILE - Canadian and American flags are shown on the Gordie Howe Bridge under construction between Windsor, Ontario and Detroit, May 22, 2026. (AP Photo/Paul Sancya, File)
Bendera Kanada dan Amerika Syarikat dipamerkan di Jambatan Gordie Howe yang terletak antara Windsor, Ontario dan Detroit. - Foto AP

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengesahkan Jambatan Antarabangsa Gordie Howe akan dibuka menjelang akhir minggu ini, meskipun berdepan ancaman daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jambatan enam lorong yang menghubungkan Detroit di negeri Michigan dengan Windsor di Ontario itu dianggap projek infrastruktur penting bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Bercakap kepada media di Bukit Parlimen, Ottawa, Carney tidak mengulas mengenai sebarang rundingan dengan Trump, sebaliknya menegaskan pembukaan jambatan itu sebagai pencapaian kerjasama dua hala.

“Ini berita positif. Jambatan akan dibuka pada hujung minggu ini. Ia simbol dan juga realiti kerjasama antara AS dan Kanada,” katanya.

Jambatan tersebut dilihat akan memudahkan aliran perdagangan, selain memberi manfaat kepada pengguna sempadan dari kedua-dua negara.

Projek berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas Trump mengancam untuk menghalang pembukaannya melainkan Kanada memberikan konsesi kepada AS.

Dalam kenyataan di media sosial awal tahun ini, beliau mendakwa projek itu hanya menguntungkan Kanada dan menuntut supaya AS diberikan sekurang-kurangnya separuh pemilikan aset tersebut.

Trump juga menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan jambatan itu dibuka sehingga AS “diberikan pampasan sepenuhnya”.

Kenyataan itu mencetuskan ketegangan baharu antara kedua-dua negara yang sebelum ini mempunyai hubungan ekonomi rapat.

Selain itu, projek jambatan tersebut turut ditentang oleh keluarga Moroun, pemilik Jambatan Ambassador yang terletak berhampiran.

Mereka menyifatkan projek Gordie Howe sebagai saingan tidak adil dan telah mengambil tindakan undang-undang serta melancarkan kempen bagi menghalang pembinaannya.

Berbeza dengan Jambatan Ambassador yang dimiliki swasta, Jambatan Gordie Howe dimiliki bersama oleh kerajaan Kanada dan negeri Michigan.

Dengan kos pembinaan sekitar AS$6.4 bilion dan mengambil masa kira-kira tujuh tahun untuk disiapkan, jambatan itu dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Kanada dan AS kekal sebagai rakan dagang utama, dengan hubungan ekonomi yang saling bergantung rapat.

Namun, ketegangan sejak kebelakangan ini, termasuk perang tarif dan rundingan semula perjanjian perdagangan, telah menguji hubungan tradisional tersebut.

Pembukaan Jambatan Gordie Howe kini dilihat sebagai langkah penting dalam mengekalkan kerjasama rentas sempadan, walaupun berdepan cabaran politik yang berterusan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement