SEPANG: Kajian terbaharu menunjukkan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat (AS) menghabiskan lebih banyak masa menggunakan gajet dan media sosial, berbanding sebelum ini.

Menurut kajian tersebut, jumlah jam yang dihabiskan ketika melayari Internet telah meningkat dengan mendadak terutamanya semasa pandemik - berdasarkan hasil tinjauan yang dikeluarkan pada 23 Mac 2022.

Kajian diterbitkan Common Sense Media itu mendapati penggunaan gajet secara keseluruhan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat sebanyak 17 peratus dari 2019 hingga 2021.

Bahkan, ia meningkat lebih tinggi berbanding empat tahun sebelumnya. 

Secara purata, penggunaan skrin harian meningkat dalam kalangan remaja berumur lapan hingga 12 tahun kepada lima jam 33 minit dari empat jam 44 minit, dan kepada lapan jam 39 minit dari tujuh jam 22 minit untuk remaja (umur 13 hingga 18 tahun).

Peningkatan yang dilaporkan oleh tinjauan itu berkemungkinan besar mencerminkan kesukaran yang dialami keluarga membabitkan sesi persekolahan, penjagaan anak dan interaksi sosial sepanjang pandemik, kata pakar. 

Kebimbangan lain ialah peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun, membabitkan platform seperti Instagram, Snapchat dan Facebook.

Untuk rekod, platform sedemikian memerlukan pengguna berumur sekurang-kurangnya 13 tahun kerana undang-undang melarang  syarikat daripada mengumpul data daripada kanak-kanak.

Begitupun, Pengasas Cyberwise, Diana Graber berkata, penemuan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Semasa pandemik, katanya, kanak-kanak beralih ke skrin untuk hiburan dan berhubung dengan rakan-rakan kerana ramai yang tidak menghadiri sekolah atau aktiviti secara bersemuka.

Begitupun, dia menambah: "Sebilangan besar kanak-kanak menggunakan media sosial semasa mereka masih muda... ia membuatkan saya mahu menangis.

"Aplikasi media sosial ini tidak direka untuk kanak-kanak," katanya.

Kajian melibatkan 1,306 responden berumur lapan hingga 18 tahun yang dilakukan secara dalam talian itu juga mendapati mereka tidak menggunakan gajet untuk terus berhubung dengan rakan sebaya. 

Remaja, contohnya, dilapor menghabiskan lebih tiga jam sehari secara purata menonton video atau TV dan hampir dua jam sehari bermain permainan video – tetapi hanya 20 minit sehari berbual secara video dengan rakan-rakan.