TEHRAN: Sebanyak 11 kapal Iran dilaporkan berjaya melalui sekatan laut Amerika Syarikat (AS) sejak kedua-dua negara memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU), menurut media rasmi Iran.
Stesen televisyen Press TV, memetik sumber yang mengetahui perkara itu, melaporkan bahawa lapan kapal berlayar keluar dari perairan wilayah Iran menuju ke perairan antarabangsa, manakala tiga lagi memasuki perairan Iran.
Perkembangan ini berlaku selepas AS dan Iran mencapai persetujuan melalui MoU yang antara lain menetapkan penamatan sekatan laut dan pembukaan semula laluan strategik Selat Hormuz.
MoU tersebut menggariskan komitmen AS untuk menamatkan sekatan laut terhadap Iran, manakala Iran pula bersetuju untuk membenarkan transit kapal melalui Selat Hormuz tanpa caj sekurang-kurangnya selama 60 hari.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha segera bagi memulihkan aliran perdagangan maritim yang terjejas akibat konflik berbulan-bulan antara kedua-dua negara.
Pergerakan kapal-kapal Iran merentasi sekatan itu dianggap sebagai antara petunjuk awal bahawa perjanjian sedang mula dilaksanakan di lapangan.
Sebelum ini, sekatan laut oleh AS dan penutupan laluan oleh Iran telah menjejaskan pergerakan kapal dagang serta menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.
Selat Hormuz merupakan laluan utama yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dunia, menjadikannya titik strategik dalam kestabilan pasaran tenaga.
Pembukaan semula laluan tersebut dijangka memberi kelegaan kepada pasaran global yang terjejas sejak konflik tercetus.
Walaupun MoU kini dilaksanakan, kedua-dua negara masih dijangka meneruskan rundingan lanjut dalam tempoh 60 hari bagi mencapai perjanjian muktamad, termasuk isu sensitif seperti program nuklear Iran dan pengurangan sekatan ekonomi.
Perkembangan terkini ini menandakan langkah awal ke arah pemulihan hubungan antara Washington dan Tehran, walaupun penganalisis memberi amaran bahawa cabaran besar masih menanti dalam pelaksanaan sepenuhnya perjanjian tersebut.